| Universiti Putra Malaysia

Guru Sekolah Kebangsaan Selangor sertai program Identifikasi Simptom Disleksia

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Marina Ismail

SERDANG, 21 Ogos – Seramai 141 guru Sekolah Kebangsaan negeri Selangor menyertai program Identifikasi Simptom Disleksia bertujuan memberikan pendedahan mengenai ilmu asas disleksia dan proses pengenalpastian simptom disleksia di kalangan murid sekolah.

Pengarah program, Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam berkata masalah disleksia dalam pembelajaran telah lama wujud di kalangan murid sekolah rendah dan sekolah menegah.

Sehubungan itu katanya, proses mengenalpasti disleksia adalah penting supaya intervensi awal boleh dijalankan untuk membantu murid disleksik.

Program itu dianjurkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Persatuan Disleksia Malaysia, Pertubuhan Tulir Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor. Turut hadir ADUN Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Mohd Azidan Abdul Jabar.

Sebagai pensyarah yang terlibat secara langsung dalam bidang penyelidikan disleksia, Prof. Dr. Vijayaletchumy berkata, beliau berharap program itu membantu guru sekolah untuk mempertingkatkan pengetahuan proses identifikasi dan pengendalian murid yang mempunyai masalah disleksia dapat ditangani pada peringkat lebih awal.

“Proses pengenalpastian disleksia adalah penting supaya intervensi awal boleh dijalankan untuk membantu murid disleksik. Jika tidak dibendung dari awalnya ia akan memusnahan masa hadapan kanak-kanak itu,” katanya.

Beliau yang melakukan kajian penggunaan Instrumen Saringan Intervensi Siptom Disleksia (SISD) pada tahun 2018 berkata melalui instrumen itu guru prasekolah dan Tahap 1 dapat menilai secara awal sama ada murid menunjukkan simptom masalah pembelajaran disleksia atau tidak.  

“Proses diagnostik disleksia akan menjadi lebih cepat sekiranya instrumen yang sesuai digunakan di semua sekolah,” katanya.

Beliau berkata proses dignostik disleksia secara formal melalui pusat perubatan dan hospital mengambil masa antara enam bulan hingga satu tahun yang melibatkan pelbagai ujian dan penilaian.

Katanya, senario semasa di sekolah menunjukkan bahawa guru arus perdana Tahap 1 yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai disleksia akan mengkategorikan murid yang tidak boleh membaca, mengeja dan menulis sebagai slow learner dan memasukkan mereka ke kelas pemulihan.

“Ini akan mengambil masa yang lama untuk menentukan masalah pembelajaran murid berkenaan. Melalui SISD, guru arus perdana Tahun 1 dapat mengenalpasti simptom disleksia dan rekod ini akan membantu guru pemulihan khas mempercepatkan proses pengenalpastian disleksia di kalangan murid,” katanya. – UPM

 

WXETAAp~