| Universiti Putra Malaysia

Graduan UPM raih ijazah sambil berkarya dalam industri muzik

Oleh: Nazrul Rapail

SERDANG, 13 Jan - “Pada mulanya saya cuma mahu cover lagu sekadar suka-suka, tetapi tidak sangka pula boleh viral,” kata graduan Bacelor Sains Hortikultur, Noor Shahida Supian, 25, yang menerima ijazahnya pada sesi 6 Majlis Konvokesyen UPM Ke-44 hari ini.

Shahida Supian atau ramah disapa dengan panggilan Shida mempunyai minat yang mendalam dalam industri muzik.

Graduan yang berasal dari Sungai Merab, Bangi itu mula bermain gitar seawal usia 15 tahun.

“Pada mulanya saya melihat abang saya bermain dengan gitar dan di situ bermulanya  saya timbul rasa minat dan ingin belajar,” katanya.

Katanya beliau gemar berkongsi cover nyanyian beliau sambil bermain gitar di platform seperti Youtube dan juga Instagram sejak 2012.

“Saya tidak percaya apabila video cover nyanyian saya yang bertajuk ‘Despacito’ pada tahun 2017 menjadi tular dan mencecah hampir tiga juta penonton menyebabkan beliau berjaya memperoleh Silver Play Button daripada Youtube,”

Sejak itu, bakat beliau mula menjadi perhatian ramai pihak untuk bekerjasama dalam membuat persembahan nyanyian di dalam dan luar UPM.

Beliau pernah dijemput menyumbang suara di Malam Pesta Konvo 2017 dan pernah membuat persembahan nyanyian bersama Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi ketika itu.

Kejayaan beliau tidak terhenti di situ, tahun 2019 sekali lagi Shahida dijemput MHI TV3, SIS TV9 dan Muzik-Muzik TV3 untuk bekerjasama menampilkan lagu bersama Faithful Music (FML) yang bertajuk ‘Caramu’.

Kini FML sedang dalam proses mengeluarkan single pertama beliau.

Shahida meluahkan rasa syukur dan gembira dapat menamatkan pengajiannya dalam sesi Konvokesyen hari ini.

Beliau juga sempat berterima kasih kepada sesiapa yang mengenali dan sentiasa menyokong beliau terutamanya dalam industri muzik ini.

“Tidak lupa juga dengan keluarga, rakan-rakan serta pensyarah yang sentiasa memberi sokongan moral dan membantu saya sepanjang berada di UPM,” katanya. - UPM

SXEYIAm~