| Universiti Putra Malaysia

Graduan perlu terus timba ilmu: Prof Emeritus Tan Sri Dr. Nayan

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail, Noor Azreen Awang & Mohd Hasrul Hamdan

 

SERDANG, 4 Nov - Graduan perlu terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri serta menjadikan kejayaan memilki ijazah atau diploma sebagai landasan untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada pembentukan masyarakat dan peningkatan peradaban manusia.

Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Tan Sri  Dr. Nayan Ariffin berkata, proses pembelajaran tidak seharusnya berhenti setelah graduan menamatkan pengajian di universiti.

Beliau berkata ia kerana graduan yang berkualiti sebagaimana yang dihasratkan oleh negara bukan hanya cemerlang dalam pencapaian akademik sahaja, malah perlu cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek kehidupan.

“Graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab adalah amat penting ke arah melahirkan insan yang luhur,” katanya ketika berucap pada Sesi 2, Majlis Konvokesyen ke-41 UPM di sini.

 Katanya, ia bertepatan dengan konsep Ihsan sebagai tonggak kecemerlangan UPM yang menekankan soal kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan yang seterusnya akan dapat melahirkan graduan yang menyumbang kepada usaha mentransformasi negara.

Beliau juga berkata universiti tidak boleh lagi bersifat menara gading dengan mengambil pendekatan elitis atau eksklusif.

Sebaliknya, kata beliau, universiti perlu melebarkan peranan inklusif dan tanggungjawabnya melewati sempadan kampus untuk membangunkan komuniti.

Katanya, Institusi Pendidikan Tinggi khususnya universiti perlu berada di tahap yang cemerlang kerana sektor itu adalah sektor paling kritikal dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Beliau berkata, ia kerana sektor berkenaan menyediakan insan dan tenaga kerja berpengetahuan serta berkemahiran tinggi bagi keperluan transformasi negara. - UPM

 

 

WXDdGA1~