Graduan Mesti Cemerlang Secara Holistik: Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Nayan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Graduan mesti cemerlang secara holistik: Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Nayan

Graduan mesti cemerlang secara holistik: Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Nayan

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail and Noor Azreen Awang



SERDANG, 22 Okt: Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) perlu memiliki peribadi unggul dan cemerlang bukan sahaja dalam pencapaian akademik tetapi juga cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek kehidupan sebagaimana dihasratkan oleh kerajaan, kata Pro Canselor UPM, Profesor Emeritus Tan Sri  Dr. Nayan Ariffin.

Beliau berkata, graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab adalah amat penting ke arah melahirkan insan yang luhur.

“Ia juga bertepatan dengan konsep ihsan sebagai tonggak kecemerlangan UPM yang menekankan soal kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan.

“Saya percaya, jika universiti ini dapat melahirkan graduan bukan semata-mata sebagai modal insan, tetapi juga sebagai insan bertakwa, berintegriti dan berakhlak mulia, maka

itu merupakan sumbangan terbesar UPM kepada pembangunan dan peradaban bangsa dan negara,” katanya ketika berucap pada Sesi 2, Majlis Konvokesyen ke-40 UPM di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Beliau juga mengingatkan graduan bahawa proses pembelajaran tidak terhenti apabila mendapat kerja.

Katanya, graduan perlu terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri dengan menjadikan kejayaan yang dicapai itu sebagai landasan untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia yang lebih berkualiti, berintegriti dan sinergi dengan alam persekitaran.

Beliau juga berharap graduan selaku alumni UPM akan sentiasa menyokong usaha memperkukuhkan hubungan antara alumni dan UPM kerana alumni adalah komponen penting dalam melonjakkan kecemerlangan universiti pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada graduan, Prof. Emeritus Tan Sri  Dr. Nayan juga berharap para graduan tidak melupakan pengorbanan ibu bapa serta keluarga masing-masing yang menjadi tonggak kepada kejayaan yang dimiliki.

Katanya, beliau juga percaya kejayaan itu boleh menjadi pemangkin untuk graduan memberi sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara dalam apa juga bidang yang diceburi. - UPM

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300377