| Universiti Putra Malaysia

Graduan mesti cemerlang akademik, holistik dalam semua aspek

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang


SERDANG, 31 Okt: Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Dr Nayan Ariffin mengingatkan graduan supaya bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek.

Beliau berkata graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab adalah amat penting ke arah melahirkan warga Malaysia yang berjiwa mulia.

“Saya percaya, jika universiti dapat melahirkan graduan yang memiliki ciri sedemikian, inilah sumbangan terbesar universiti kepada pembangunan dan peradaban bangsa,” katanya ketika berucap pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-39 UPM di sini.

Beliau turut menyampaikan ijazah dan diploma kepada 906 graduan.




Tan Sri Dr Nayan berkata graduan juga perlu bersedia dan melengkapkan diri  dengan ciri keusahawanan serta berupaya mencipta pekerjaan, bukan lagi mencari pekerjaan kerana perkembangan ekonomi dunia yang tidak menentu mutakhir ini telah memberikan cabaran kepada graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

Beliau juga berkata proses pembelajaran tidak harus berhenti selepas memperoleh pekerjaan, sebaliknya pengetahuan dan kemahiran diri perlu terus ditingkatkan.

“Jadikan kejayaan pada hari ini sebagai landasan untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia yang lebih berkualiti, berintegriti dan sinergi dengan alam persekitaran,” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada para graduan, beliau berharap kejayaan itu menjadi motivasi untuk mereka terus berjaya dan menjadi

pemangkin untuk dalam memberi sumbangan bermakna kepada keluarga dan masyarakat .

“Saya berharap para graduan tidak melupakan pengorbanan ibubapa dan keluarga masing-masing yang menjadi kekuatan dan pemangkin kepada kejayaan yang dicapai. Tanpa mereka siapalah kalian,” katanya.

Seramai 7,056 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-39 ini yang bertemakan “Mendepani Pertanian.” - UPM


SXETOAu~