Graduan Harus Tingkatkan Nilai Kemanusiaan Sejagat Demi Keamanan – Sultan Sharafuddin | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Graduan harus tingkatkan nilai kemanusiaan sejagat demi keamanan – Sultan Sharafuddin

Graduan harus tingkatkan nilai kemanusiaan sejagat demi keamanan – Sultan Sharafuddin

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

Foto oleh Marina Ismail & Noor Azreen Awang

SERDANG, 4 Nov – Graduan diseru memperkukuhkan nilai kemanusiaan sejagat merentasi batasan agama dan negara dalam memelihara keamanan dan menghormati sesama manusia.

Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah dengan konsep dunia tanpa sempadan, graduan harus bersedia dengan perubahan pemikiran global dalam aspek ekonomi, kemanusiaan dan keselamatan sejagat kerana kesemuanya mempunyai kesan kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Graduan diseru jangan terlibat dalam gerakan berpaksikan keganasan yang bertentangan dengan prinsip agama,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke – 41 (2017) UPM, di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Baginda juga bertitah graduan harus berusaha memerangi najis dadah yang bukan sahaja merosakan pemikiran, fizikal dan emosi tetapi boleh menyebabkan kerosakan yang besar kepada bangsa dan negara sekiranya tidak dibanteras.

“Beta berasa sangat dukacita apabila diberitahu dadah ini bukan sahaja mempengaruhi golongan belia, tetapi juga remaja yang masih bersekolah. Para graduan harus berperanan aktif dalam masyarakat untuk membanteras gejala ini daripada terus merebak,” titahnya.

“Graduan harus berusaha memerangi najis dadah yang bukan sahaja merosakan pemikiran, fizikal dan emosi tetapi boleh menyebabkan kerosakan yang besar kepada bangsa dan negara.” – Sultan Sharafuddin

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kewangan kepada Datuk Seri Tajuddin Atan

Pada Majlis Konvokesyen UPM pada 4 hingga 7 November 2017 selama empat hari itu, seramai 6,500 graduan pelbagai program pengajian akan menerima ijazah dan diploma iaitu doktor falsafah (Ph.D) seramai 627, sarjana (Master) 1,628, bacelor 3,720 dan diploma 525.

Pada istiadat itu, baginda mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Kewangan kepada Datuk Seri Tajuddin Atan dan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Profesor Dr. Omar M. Yaghi.

Pada sebelah petangnya, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada Datin Dr. Farida Fatema@ Farida Jamal, Prof. Dr. Azimi Hamzah dan Prof. Dr. Kamariah Abu Bakar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Profesor Dr. Omar M. Yaghi

Konvokesyen UPM kali ini merekodkan graduan sulung untuk lima graduan Doktor Kejuruteraan, dua graduan Master Perubatan (Psikiatri) dan dua graduan Master Perubatan (Perubatan Keluarga).

“Beta gembira kerana UPM telah berjaya melonjak 41 anak tangga ke kedudukan 229 universiti terbaik dunia dalam penarafan QS World University Ranking berbanding pada kedudukan 270 pada tahun 2016.

“Tahniah kerana pada Kejohanan Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017, seramai 75 orang pelajar UPM berjaya menyumbangkan 37 pingat iaitu 15 emas, 11 perak dan 11 pingat gangsa kepada negara” - Sultan Sharafuddin

“Beta juga gembira kerana UPM mengukuhkan kedudukan ke-36 universiti terbaik  Asia dalam ‘QS Asia Universiti Ranking 2018’, “ titah Sultan Sharafuddin.

Baginda turut mengucapkan tahniah kerana pada Kejohanan Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017, seramai 75 orang pelajar UPM berjaya menyumbangkan 37 pingat iaitu 15 emas, 11 perak dan 11 pingat gangsa kepada negara.

“Beta menggesa para alumni untuk sentiasa kembali ke UPM sama ada secara fizikal atau melalui apa kaedah sekalipun untuk bersama-sama membantu UPM. Langkah ini akan membolehkan UPM berfungsi sebagai hub ilmu yang relevan pada setiap masa,” titahnya.

Sultan Sharafuddin juga gembira dengan kerjasama rapat UPM dengan industri untuk menambah kemahiran kepada pelajar seperti  kerjasama strategik dengan Sime Darby Berhad, AirAsia, Holstein Sdn Bhd. dan Malayan Flours Mill Berhad.

 

Tarikh Input: 04/11/2017 | Kemaskini: 06/11/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1542800010