| Universiti Putra Malaysia

Graduan gigih bisnes salun di kampus

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 30 Okt – Graduan Bacelor Komunikasi Korporat, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurzulaikha Raduian gigih menjalankan bisnes salun ketika dalam pengajian.

 

Beliau memilih untuk menjalankan bisnes salun kerana meminati bidang kecantikan dan bercita-cita untuk menghasilkan produk kecantikan sendiri suatu hari nanti.

 

“Semasa pengajian di UPM, saya aktif mengikuti program universiti serta mendapat peluang belajar mengenai perniagaan di Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dan University Community Transformation Centre  (UCTC),” katanya.

 

Beliau yang sebelum ini pernah mengendalikan bisnes makanan berkata pelajar perlu mengubah tanggapan bahawa memulakan perniagaan memerlukan modal yang besar.

 

“Saya pernah memulakan bisnes dengan modal bawah RM50… yang penting minat dan usaha untuk berniaga. Kita juga perlu bijak memilih jenis bisnes yang hendak dimulakan contohnya dengan RM1 kita boleh membeli barang perniagaan dengan harga yang bermula 20 sen,” katanya.

 

Graduan Bacelor Komunikasi itu berkata, komunikasi dalam bisnes adalah perlu untuk mempromosi serta menjayakan sesebuah perniagaan.

 

“Apabila dalam bidang bisnes, kita perlu bertemu dengan orang ramai serta pemegang taruh yang berpotensi bagi membantu meningkatkan jaringan bisnes. Ini secara langsung membantu saya untuk terus yakin untuk maju dalam perniagaan,” katanya.

 

Beliau juga berkata, peluang pekerjaan pada masa ini agak mencabar dan dengan adanya bisnes sendiri secara langsung membantu beliau untuk mempunyai kerjaya selain turut mewujudkan pekerjaan kepada umum. - UPM

SXDdOA~