| Universiti Putra Malaysia

Graduan diseru amal nilai ihsan sebagai tonggak kecemerlangan

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

YBhg. Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin, mantan Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus sempena Majlis Konvokesyen ke-40 UPM


SERDANG, 22 Okt – Graduan diseru mengamalkan nilai mulia ihsan sebagai tonggak kecemerlangan dalam membentuk budaya kerja yang betul, efisien dan berkualiti tinggi.

Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, graduan harus menghayati  nilai ihsan kerana UPM telah mengangkat nilai itu berkonsepkan kecemerlangan, kejujuran dan integriti yang diterapkan dalam segenap program warga kampus.

“Beta gembira apabila diberitahu nilai ihsan ini diterapkan dalam segenap program dan dihayati oleh setiap warga universiti.

“Nilai ihsan ini merupakan penzahiran kepada sifat jujur seseorang dalam apa jua perkara yang dilakukan. Beta difahamkan universiti juga akan memperkenalkan skim baharu iaitu Skim Amal Soleh untuk pesara berkongsi dan memanfaatkan kepakaran mereka dalam kerangka perkhidmatan yang berteraskan ciri ihsan.

“Para graduan diingat supaya bersatu hati, untuk bersama-sama masyarakat dan pemimpin negara bagi memperkukuh dan meningkatkan perpaduan dan kestabilan negara, menjadikannya berdaulat dan tinggi di mata dunia,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPM ke - 40, 2016, di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UPM meraikan 7,200 graduan yang berjaya menamatkan pengajian terdiri daripada 500 PhD, 1,788 Master, 4,451 Bacelor dan 461 Diploma.

Sultan Sharafuddin juga bertitah agar graduan antarabangsa melonjakkan kecemerlangan dan menjaga nama baik UPM kerana mereka ialah duta dan wakil UPM di negara asal.

“Beta menggesa para alumni untuk sentiasa kembali ke UPM sama ada secara fizikal atau melalui apa kaedah sekalipun untuk bersama-sama membantu UPM. Langkah ini akan membolehkan UPM berfungsi sebagai hub ilmu atau knowledge hub yang relevan pada setiap masa,” titahnya.

Majlis Konvokesyen ke - 40 itu juga merekodkan graduan sulung untuk lima program iaitu dua graduan Doktor Kesihatan Awam, 34 Master Keselamatan dan Pemastian Kualiti Makanan, 31 Bacelor Sains (Pengurusan Perkhidmatan Makanan), satu program pengajian PhD Ijazah penganugerahan bersama (jointly awarded degree) UPM - University of Sheffield dan satu Phd Ijazah berkembar (dual Degree) UPM - Kyushu Institute of Technology Jepun.

Pada istiadat itu, baginda mengurniakan ijazah Profesor Emeritus kepada Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin dan Dato’ Dr. Kamel Ariffin Mohd Atan.

Baginda turut mengingatkan UPM masih menerajui bidang nic pertanian, di samping membangun kapasiti dalam bidang strategik negara seperti kejuruteraan, perubatan, sains komputer dan pengimejan diagnostik nuklear.

“Beta akan memberi sokongan padu kepada UPM untuk meneruskan legasi kecemerlangan dan terus menerajui bidang tujahan pertanian dengan memberikan impak yang berkesan kepada masyarakat dan negara, terutamanya bagi memperkasakan kedaulatan makanan negara, selaras dengan slogan UPM iaitu “Pertanian.Inovasi.Kehidupan.

”Beta menggesa agar semua warga Universiti untuk terus memberikan yang terbaik untuk masyarakat dan negara. Usaha menyebarkan ilmu pengetahuan dan mengangkat martabat bangsa dan negara harus diteruskan secara terancang,” titah  Sultan Sharafuddin.

Tuanku Canselor yang menyifatkan UPM ampuh menerajui penyelidikan dan pendidikan tinggi negara turut mencadangkan UPM agar mempergiat aktiviti bersama industri dan komuniti bagi memperoleh manfaat jangka panjang.


SXETWAj~