| Universiti Putra Malaysia

Golongan B40, OKU sertai bengkel penanaman secara hidroponik

SERDANG, 18 Jun – Seramai 30 peserta daripada golongan B40 dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menyertai Projek Komuniti Kesukarelawanan, berupa program pemindahan ilmu yang mengkhususkan kepada kaedah penanaman secara hidroponik.

Program anjuran pelajar tahun satu Kursus Pembangunan Kesukarelawanan (QKU2203II) - Kumpulan 8, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu adalah di bawah bimbingan fasilitator Kumpulan 8, Dr Velu a/l Perumal. Ia diadakan pada 19 dan 20 Jun lalu.

Program bertemakan Bengkel Hidroponik: “Skills To Property” itu dipilih berdasarkan matlamat program yang bersifat pemindahan ilmu iaitu pendedahan kepada teknik dan kemahiran penanaman secara moden.

Idea itu tercetus berikutan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan masyarakat terkesan dengannya. Justeru, pelajar mengambil inisiatif ini bagi membantu komuniti untuk menjana pendapatan baharu dan menyara kehidupan seharian.

Penganjuran program merupakan inisiatif pelajar bersama dengan Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Selangor & Wilayah Persekutuan - Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah, (PPOC).

Bendahari Kehormat PPOC, Suhaila Emma Merican berkata bengkel itu boleh memberi impak positif kepada masyarakat khususnya OKU untuk membangun serta mencapai potensi maksimum mereka agar memperoleh pendapatan dan meningkatkan lagi kualiti hidup.

“Ia memberikan impak positif daripada keunikan projek di samping memberi peluang belajar serta menuai hasil daripada projek itu. Persatuan kami bukan hanya menyediakan tempat tinggal dan makanan tetapi juga menyemai nilai kehidupan kepada setiap penghuni,” katanya.

Beliau berkata, bengkel itu dapat mencungkil minat penghuni melalui aktiviti yang direncanakan bersesuaian dengan kemampuan fizikal mereka.

Selain dapat membantu peserta menjana pendapatan, katanya,, program itu juga dapat mewujudkan komuniti yang cintakan alam sekitar. - UPM

SXDdRAq~