| Universiti Putra Malaysia

Gerak Ilmu Genphys 21/25 suntik semangat pelajar baharu

SERDANG, 31 Okt - Kelab Mahasiswa Fizik (KMF), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains, UPM menganjurkan Program Gerak Ilmu “GenPhys 21/25” secara atas talian bersama 82 orang pelajar baharu Tahun 1 berserta pelajar senior dan pensyarah Jabatan Fizik.

Program itu bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar baharu dan warga Jabatan Fizik serta mempersiapkan mahasiswa Jabatan Fizik sepanjang pengajian di UPM.

Ketua Jabatan Fizik, Prof. Madya Dr. Suriati Paiman ketika merasmikan program itu memberikan kata-kata motivasi dan semangat kepada pelajar.

Penasihat Program yang juga Penasihat KMF, Prof. Madya Dr Yap Wing Fen berkata ini adalah kali kedua program seumpama itu dijalankan secara atas talian, dan ia dilaksanakan dengan baik oleh Ahli Jawatankuasa KMF.

Pengarah program, Muhammad Fauzi Md Hairi berkata program tersebut menyuntik semangat pelajar Tahun 1 bagi memulakan sesi pengajian.

“Suntikan semangat ini perlu bagi memastikan pelajar baharu sentiasa bersedia dan memberikan yang terbaik daripada segi akademik dan menggalakkan mereka menyertai program-program yang dianjurkan di UPM,” katanya.

Antara slot  pada program itu adalah “Plan Your Future”, “Experiential Alumni 3.0”, “Accelerace”, “The Magic of Physics” dan “I Can See Your Wave 4.0”.

Pensyarah Jabatan Fizik, Dr. Nurul Huda Osman dan Dr Mazliana Ahmad Kamarudin yang merupakan panel bagi slot ‘’Plan Your Future’’ berkongsi pengalaman serta nasihat dan memberikan taklimat kurikulum.

Enam orang alumni Jabatan Fizik iaitu Rifa’ie Al-Aziz, Mohd Naqiudin Che Ibrahim, Asraf Mustaqim Amran, Mohd Fazli Abd Kuddus, Abdul Kalam Salehan, dan Muhammad Asnawi Mohd Kusaimi, pula adalah panel bagi slot Experiential Alumni 3.0. Mereka berkongsi pengalaman, memberi inspirasi dan semangat kepada pelajar.

Slot “Accelerace” pula dijalankan secara berkumpulan yang mengkehendaki pelajar melengkapkan cabaran yang disediakan. Ia bertujuan memupuk semangat kerjasama antara pelajar Jabatan Fizik walaupun berlainan program serta mewujudkan komunikasi antara ahli kumpulan meskipun secara atas talian.

Penampilan khas Profesor Magik iaitu Prof. Dr. Sidek Hj Ab Aziz, mantan Profesor Jabatan Fizik menceriakan Program Gerak Ilmu itu melalui pertunjukkan magik yang memukau pelajar. Sesi perkongsian dan pertunjukkan itu melahirkan perasaan keterujaan pelajar terhadap ilmu fizik yang diguna dan diaplikasikan dengan meluas dalam magik.

Slot “I Can See Your Wave 4.0” pula diadaptasikan daripada rancangan realiti TV popular. Ia disiarkan secara langsung di  Laman Facebook “Kelab Mahasiswa Fizik UPM” dan turut ditonton oleh rakyat negara ini.

Pelajar Tahun 1, Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan (Kepujian), Muhammad Shah Rizal Abdul Manan berkata program itu sangat membantu dalam mengenali antara satu sama lain bukan sahaja rakan dari program yang sama malahan dapat mengenali pelajar Jabatan Fizik  dari program yang berbeza.

Seorang lagi pelajar Tahun 1, Bacelor Sains Fizik dengan Pendidikan (Kepujian), Muhammad Amir Zakwan Mohd Zailani berkata program itu membuka minda pelajar untuk bersedia sebagai seorang pelajar UPM serta  memberikan pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai Jabatan Fizik.- UPM

SXDcVAR~