| Universiti Putra Malaysia

Gema Simfoni ‘50 Tahun UPM Gemilang’ rai Sambutan Jubli Emas UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Sabri Omar & Saleha Haron 

SERDANG, 18 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Gema Simfoni ‘50 Tahun UPM Gemilang’ bagi merai dan menyemarakkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Penubuhan UPM serta mengabdikan sejarah kemasyuran sebagai sebuah institusi Menara Ilmu pada alaf ini.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata program itu merupakan medium bagi UPM menzahirkan rasa kebertanggungjawaban dalam menjaga kebajikan dan kemaslahatan sejagat di waktu memerangi pandemik COVID-19 dengan pembudayaan norma baharu dalam kehidupan.

Katanya, ia seiring dengan hala tuju Universiti berdasarkan Pelan Strategik UPM  2021-2025 pada Objektif Strategik 1, Matlamat ke-5: Memperkasakan Amalan Tadbir Urus, yang memfokuskan Kesejahteraan Warga UPM sebagai salah satu pengukuran prestasi.

Program itu turut menampilkan penyanyi terkemuka tanah air Francissca Peter dan virtuoso biola UPM yang juga Pensyarah Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Madya Dr. Joanne Yeoh Pei Sze.

Gema Simfoni 50 Tahun UPM Gemilang turut melibatkan staf, pelajar dan alumni UPM sebagai penyanyi dan pemuzik dalam program itu.

Sepanjang 50 tahun, UPM terus kukuh berpegang pada komitmen untuk berusaha mencapai kemajuan dan menjadi sebuah Menara Ilmu bereputasi antarabangsa.

Sementara itu, UPM mengadakan Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhannya sebagai universiti (1971-2021) sehingga tahun 2022 bertujuan menghargai aspirasi kecemerlangan dan kejayaan semua pihak dalam pembangunan UPM.  - UPM

WXETUA~