| Universiti Putra Malaysia

Gagal berkali-kali, suntik semangat untuk tamat pengajian dalam bidang matematik

Oleh: Nurul Qamarina Azli

SERDANG, 11 Jan – Meskipun gagal berkali-kali, Siti Nur Shafila Che Kamaruzaman, 26, telah berjaya menamatkan pengajian dalam program Bacelor Sains (Kepujian) Matematik pada Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sungguhpun minat Siti Nur Shafila terhadap subjek Matematik, beliau terpaksa menghadapi pelbagai ujian daripada sekeliling kerana telah gagal sebanyak dua kali dan membuatkan beliau berfikir sama ada untuk meneruskan pembelajaran di dalam bidang yang diminati atau tidak.

Katanya, nasihat daripada keluarga serta kepercayaan terhadap kemampuan diri sendiri membuatkan beliau masih meneruskan pembelajaran walaupun perlu menambah satu tahun pengajian.

“Waktu saya banyak dihabiskan dengan mendampingi pensyarah dan pembantu akademik untuk meningkatkan kemampuan dirinya serta mereka dan saya menganggap mereka sebagai rakan saya semasa di UPM,” katanya.

Antara dugaan yang beliau perlu hadapi antaranya ditahan di hospital selama sebulan pada waktu beliau harus menyelesaikan projek tahun akhirnya serta keluarganya yang berada di Kelantan menumpang di rumah saudara mereka hanya untuk menghantar beliau dari hospital ke fakulti.

Ujian yang pahit diakhiri dengan kejayaan yang manis apabila projek tahun akhir beliau diterbitkan dengan bantuan pensyarah dan kini beliau sedang menunggu panggilan untuk menjadi tenaga pengajar di matrikulasi.

Beliau berpesan agar menjaga hubungan dengan Tuhan dan keluarga serta percaya dengan kemampuan diri sendiri dan takdir yang telah ditetapkan kerana pasti akan ada pelangi menanti. - UPM

WXEZWA7~