| Universiti Putra Malaysia

“Funtastic Stem” tarik minat pelajar SEMESTI dalam subjek sains

SERDANG, 28 Ogos - Kelab My STEM Ambassador, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program ‘Funtastic STEM’ secara atas talian bersama pelajar Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) bagi menarik minat terhadap subjek sains. 

Program dengan kerjasama Pengetua SEMESTI, Azmi Jimat dan Panitia Sains SEMESTI itu disertai 256 pelajar tingkatan satu dan dua. Ia bersempena Bulan STEM Kebangsaan 2021.

Pertemuan atas talian itu dijayakan dengan kerjasama, presiden Kelab My Stem UPM, Muhamad Zulkarnai Hussin yang juga moderator program Funtastic STEM dan beberapa fasilitator daripada ahli Kelab My STEM Ambassador iaitu Nor Shahadah Fitrah, Min Qiao, Aqil Irfan, Muhammad Ayyub, Nur ‘Aliah Hanani, Ros Afrina Syahirah, Zahin Nazrin dan Fatini Dayana.

Program itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa dan penglibatan para pelajar meskipun dijalankan secara maya.

Funtastic STEM adalah program bagi memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran sains dan matematik sekaligus mengeratkan lagi hubungan pelajar dengan AJK kelab melalui beberapa pendekatan yang telah diambil.

Program itu juga memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya dan mendengar penjelasan mengenai jurusan yang diambil oleh fasilitator.

Peserta dapat mengaplikasikan teori yang dipelajari di sekolah seperti konsep daya apungan dan tegangan permukaan air dengan menjalankan eksperimen bersama fasilitator.

Penasihat kelab, Prof Madya Dr. Yap Wing Fen berkata program itu bukan sahaja dapat memberi ilmu kepada pelajar, bahkan memberi idea baharu kepada ibu bapa mengenai aktiviti yang menarik dan ringkas yang boleh dilakukan di rumah.

“Ini dapat memberikan pengalaman baharu dengan menyediakan platform maya bagi fasilitator untuk berkongsi idea dan menyampaikan ilmu kepada peserta,” katanya.

Peserta Tingkatan 2 SEMESTI, Muhammad Nabil Mohd Zain berkata program itu memberi maklumat dan ilmu pengetahuan yang baharu, dan berharap program itu dapat menambahkan lagi perkongsian maklumat yang lebih mantap.

Ketua Panitia Sains SEMESTI, Norazimah Arshad berkata beliau berasa seronok dan teruja sepanjang program berlangsung dan berharap program itu dapat diteruskan pada masa depan. - UPM

WXDdHAt~