FPP Anjur Program Inspirasi Minda Hijau Beri Kesedaran Kurangkan Plastik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » FPP anjur Program Inspirasi Minda Hijau beri kesedaran kurangkan plastik

FPP anjur Program Inspirasi Minda Hijau beri kesedaran kurangkan plastik

SERDANG – Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Program Inspirasi Minda Hijau 2019 (IM-HIJAU2019) untuk menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia dan memupuk kesedaran tentang kepentingan mengurangi penggunaan plastik dalam kehidupan seharian.

Pengarah program yang merupakan pensyarah Kanan FPP, Dr. Nurzatulshima Kamaruddin berkata program sempena Hari Alam Sekitar Negara 2019 di FPP UPM bertemakan ‘Hindari Plastik Sekali Guna’ merupakan pelan jangka panjang kerajaan menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.

“Beberapa aktiviti yang menjurus kepada cara atasi lambakan plastik turut dikongsi selain aktiviti gaya hidup hijau melalui cetusan idea penggunaan semula plastik.

“Ilmu dan kemahiran ini seiring dengan matlamat kerajaan dalam memberi kesedaran tentang kepentingan kelestarian hijau dalam kehidupan dan persekitaran kerja,” katanya.

Perasmian IM-HIJAU2019 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Dr. Nurzatulshima berkata usaha mereka selari dengan kedudukan ke-32 UPM mengenai kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar dalam ranking UI-Greenmetric World University Ranking 2018.

Katanya program ini boleh membuka minda positif generasi baharu dalam menangani isu pemanasan global sekali gus dapat memelihara kelangsungan hidup. - UPM

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 12/11/2019 | Kemaskini: 22/06/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKaOA:14:37