| Universiti Putra Malaysia

‘Flavours Of Myanmar’ kumpul dana program mobiliti di Myanmar

Oleh Nisa Khairina Amirudin

Foto CALC, UPM

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program ‘Flavours of Myanmar: Cooking Show With Chef Wan’ bagi mengumpulkan dana untuk pelajar UPM melaksanakan program mobiliti ‘Language and Cultural Engagement Programme in Myanmar 2019’ pada Oktober ini.

Pengarah CALC, Prof. Madya Dr. Arshad Abd. Samad berkata CALC menggalakkan guru dan pelajarnya untuk mengadakan aktiviti dan program di luar kelas bagi meningkatkan tahap kemahiran bahasa serta menaikkan motivasi pelajar mendalami bahasa dan budaya masyarakat negara luar.

“Program mobiliti seperti ini akan membolehkan pelajar untuk mencabar diri mereka menggunakan bahasa Myanmar yang mereka pelajari di negara Myanmar sendiri dan pada masa yang sama memperoleh pelbagai pengalaman berharga di sana,” katanya.

‘Language and Cultural Engagement Programme in Myanmar 2019’ adalah program kerjasama UPM dan Yadanabon University, Mandalay, Myanmar sebagai platform untuk pelajar berkongsi pengetahuan dan merasai sendiri budaya Myanmar.

Peserta program, pelajar tahun pertama Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Engku Nur Alia Engku Mohd Ghazali, berkata beliau teruja untuk terlibat dalam program mobiliti itu.

“Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan selama dua minggu di sana termasuk memperkenalkan bahasa dan budaya masyarakat Malaysia kepada masyarakat Myanmar, melawat Yadanabon University serta tempat-tempat menarik,” katanya.

Program ‘Flavours of Myanmar: Cooking Show With Chef Wan’ itu yang ditaja oleh chef selebriti, Datuk Chef Wan dimeriahkan dengan acara demonstrasi masakan kebangsaan Myanmar seperti Danbauk, Mohinga dan Gin Thoke yang dipersembahkan oleh pensyarah Fakulti Sains Teknologi Makanan, UPM, Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrim Abdul Karim dan , guru bahasa di CALC Daw Thi Da Than @ Sarah Hisham. Mereka dibantu oleh Datuk Chef Wan.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Myanmar ke Malaysia, Daw Sein New Aye; isteri Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Datin Dayang Mariani Haji Bongsu; isteri Duta Besar Vietnam ke Malaysia, Pham Thi Hong; isteri Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Puan Sien; isteri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datin Sri Shamsidar Taharim dan isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad. - UPM

WXEUFAd~