| Universiti Putra Malaysia

FBMK berkongsi ilmu dan etika media di Malaysia

Oleh Norizahamalina Ramli



SERDANG, 3 Jun – Komunikasi massa tidak dapat dipisahkan dengan teknologi dan khalayak, yang menjadi paparan berita dalam media cetak, elektronik dan media alternatif.

Dalam memenuhi penyebaran maklumat dan berita, etika dalam bidang media komunikasi massa hendaklah diketahui dan dipatuhi.

Inilah intipati yang menjadi fokus utama dalam Seminar on Awareness of Media Self Regulations in Digital Edge anjuran Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), dan Pelajar Bacelor Komunikasi Eksekutif, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pengarah Program, Nur Mariah Musa berkata program itu bertujuan memberi pendedahan berkaitan undang-undang dan etika media di Malaysia dan memupuk kesedaran pelajar terhadap media yang berperanan sebagai hebahan kepada umum.

 “Seminar anjuran pelajar Bacelor Komunikasi Eksekutif ini memberi pendedahan berkaitan undang-undang, peraturan kendiri dan etika media serta berkongsi maklumat dan mengenal pasti isu serta masalah yang terdapat dalam media kepada pelajar komunikasi FBMK,” katanya.

Program itu sebagai usaha mendidik pelajar khususnya pelajar komunikasi agar bertanggungjawab dalam dunia media serta memberi pendedahan berhubung penguatkuasaan undang-undang dalam media di negara ini.

Panel jemputan program ini ialah Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Ahmad Izham Omar dan Pengarah Eksekutif CMCF, Mustaffa Fadzil Mohd Abdan.

Sementara itu, pelajar Noor Izzati Jasni, 23, berkata seminar itu memberikan pendedahan baharu mengenai dunia sebenar di media selain pembelajaran di dalam kelas.

“Saya mempunyai kurang pemahaman mengenai skop ini tetapi setelah mendengar perkongsian maklumat yang diberikan saya dapat memahami dengan lebih jelas,” katanya.

Rakannya, Liew Tack Fai, 23, berkata informasi melalui seminar itu memberi gambaran kepadanya mengenai realiti kerjaya media massa serta mendorong beliau untuk berkecimpung dalam profesion media apabila tamat belajar kelak.

“Saya gembira mendapat pelbagai maklumat terkini dan sekarang lebih memahami mengenai pelaksanaan undang-undang, etika serta peraturan kendiri media di Malaysia,” katanya.

Program itu diakhiri dengan gagasan idea bahawa pelajar komunikasi UPM hendaklah menjadi lebih bertanggungjawab dalam dunia media serta penguatkuasaan undang-undang dalam media yang sedia ada.

Penganjuran program yang mengupas isu media terkini menjadi platform Jabatan Komunikasi untuk memantapkan lagi fungsi dan manfaatnya kepada umum, khususnya kepada pelajar-pelajar FBMK yang terlibat. – UPM.

 


SXDcWA~