| Universiti Putra Malaysia

FaSSA Colosseum satukan pelajar Fakulti Sains melalui kuiz dalam talian

Oleh: Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir, Dr. Bokhary Zainal dan Sarah Nabilah Hamdan

 

SERDANG – Dalam mengatasi halangan COVID-19 dan usaha untuk kekal berhubung di kalangan mahasiswa, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains (FaSSA), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjayakan FaSSA Colosseum secara dalam talian melalui platform Quizizz dan siaran langsung di YouTube.

Pertandingan kuiz dalam talian itu dibahagikan kepada tiga sesi yang dijalankan pada 19, 26 Disember 2020 dan 2 Januari 2021, merangkumi soalan dari empat cabang utama Sains iaitu Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik.

Persaingan sengit antara 242 peserta dapat dilihat dalam pusingan pertama FaSSA Colosseum bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya yang dijalankan secara berkumpulan, terdiri daripada empat orang.

 

Tiga kumpulan yang mengumpulkan markah tertinggi daripada 20 kumpulan, daripada sesi kedua dan sesi ketiga memenangi hadiah utama bernilai RM100 sumbangan Fakulti Sains.

Pengarah program, Syed Alif Imran berkata inspirasi nama program itu diambil bersempena binaan popular masyarakat Rom yang menyaksikan perlawanan hebat ahli pedang.

“Peserta dari setiap jabatan yang berlainan berganding bahu untuk mencapai matlamat mereka, saya percaya inilah persaingan secara sihat yang kita mahukan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan.

Katanya, persaingan secara sihat dan kolaborasi dalam bidang STEM membuahkan pelajar dengan pembelajaran yang positif dan kemahiran membuat keputusan yang lebih baik.

Penasihat program, Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Nadzir dan Dr. Bokhary Zainal gembira kerana program itu mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton siaran langsung yang mencecah 4,000 tontonan di FaSSA Youtube Studio.

“Apabila kita lihat pelajar aktif berkongsi pandangan di ruangan komen sewaktu perbincangan antara panel, di sini telah berlakunya perpindahan maklumat melalui teknologi dan ini secara tidak langsung adalah demonstrasi pembelajaran STEM,” katanya.

 

Kedua-dua mereka berharap FaSSA Colosseum dapat diadakan lagi pada masa hadapan dengan penyertaan peserta daripada mahasiswa UPM selain daripada Fakulti Sains memandangkan program itu mendapat maklum balas yang amat baik daripada semua. - UPM

 

SXEXOAi~