| Universiti Putra Malaysia

FaSSA anjur ceramah kerjaya, langkah permulaan pelajar ke alam pekerjaan

Oleh: Putera Arif Haikal Rusli


SERDANG, 17 Mac – Persatuan Pelajar-pelajar Fakulti Sains (FaSSA) 2020/2021, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program pendidikan - Future Career Talk 2021 (FCT2021) – bertujuan mendedahkan pelajar kepada pengetahuan dan kemahiran berkaitan kerjaya pilihan masing-masing.

Pelajar didedahkan dengan kaedah, cabaran dan maklumat yang boleh menjadikan mereka sebagai pekerja yang berupaya memenuhi kehendak dan harapan bakal majikan masing-masing.

Penasihat program, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen berkata pandemik COVID-19 menjejaskan semua peringkat masyarakat, yang menyebabkan perubahan kepada cara melaksanakan tugas harian masing-masing.

Katanya, cara pembelajaran pelajar turut berubah kepada cara dalam talian, yang memberikan penafsiran mekanisme pembelajaran yang kelihatan menyeronokan, umpama satu revolusi.

Beliau berkata dengan norma baharu yang dilalui pelajar sekarang, mereka mungkin membangkitkan persoalan mengenai kualiti pembelajaran secara dalam talian dan langkah untuk menjadi pelajar cemerlang melalui kaedah pembelajaran baharu itu.

“Objektif program ialah untuk memberi tip berguna mengenai apa yang pelajar boleh lakukan untuk meningkatkan keupayaan selaras dengan norma baharu supaya mereka dapat membuat persediaan sebaik-baiknya sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Pengarah program, Putera Haikal Arif Rusli, berkata, beliau berharap program FCT2021 itu akan membantu pelajar membuat keputusuan yang baik, terutama dalam memilih laluan kerjaya.

Putera Haikal, yang juga pelajar tahun akhir Bacelor Sains Kimia Petroleum Dengan Kepujian berkata program itu membolehkannya mendapat gambaran dalam membuat persediaan untuk latihan amali, akhir bulan ini.

“Ia memberi pengetahuan dan pendedahan yang baik untuk saya dan rakan-rakan kerana ia membantu meningkatkan keyakinan kami dalam menentukan arah masa depan serta membuat perancangan jangka panjang,” katanya.

Program dua hari itu dijalankan secara maya melalui Youtube Live, dengan setiap sesi berlangsung kira-kira satu jam. Dua orang ahli panel pada sesi pertama ialah dari GRADUAN®, iaitu Eksekutif Perhubungan Awam Kanan, Nurul Fatin Mohd Yusof dan Eksekutif Perhubungan Awam dan Majlis, Amalina Safiah Azhar.

Antara topik yang dibincangkan ialah kadar pengangguran di kalangan graduan baharu semasa pandemik sekarang ini, kriteria graduan cemerlang serta tindakan yang perlu diambil untuk mengukuhkan lagi kualiti dan jati diri mereka.

Sesi kedua diadakan pada hari berikutnya dengan ahli panel ialah dari Hartalega Holdings Berhad, iaitu Eksekutif Kanan, Amir Sharifussin dan Pengurus Kanan, Kumarasan Muthian.

Ahli panel menyatakan majikan mencari pelajar yang memilki minda yang sentiasa berkembang, serba boleh dalam persekitaran yang sentiasa berubah sekarang dan suka menimba ilmu baharu. Mereka menekankan bahawa majikan akan mencari calon berpotensi yang sentiasa meneroka serta mahu mempelajari ilmu dan pengetahun baharu. Graduan pula tidak harus terlalu memilih pekerjaan.

Kumarasan berkata, graduan perlu memberi penumpuan kepada tugas yang diberikan dan membuktikan kepada ketua bahawa mereka adalah lebih baik daripada pekerja lain, serta menjadikan pengalaman kerja itu sebagai proses pembelajaran dan melaksanakan tanggungjawab itu dengan baik kerana gaji dan ganjaran yang setimpal akan mereka terima seiring dengan cara mereka bekerja.

Beliau juga berkata bekerja sambilan juga dapat memperlihatkan karektor seseorang dan semangat kerja kuat, itu boleh menjadi nilai tambah yang baik kepada testimoni pelajar berkenaan. Ia memberi gambaran kepada bakal majikan bahawa pelajar itu bersedia untuk melakukan tugas melangkaui batasan kerja biasa.

Sementara itu, Amir berkata pelajar perlu kreatif dan berani meneroka sesuatu yang baharu. 

Program itu mendapat sambutan baik, berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada mereka yang mengikuti program berkenaan yang sebahagian besarnya adalah pelajar UPM daripada pelbagai fakulti. - UPM

WXESQAe~