| Universiti Putra Malaysia

Fakulti Sains UPM hasil cecair sanitasi tangan bantu petugas barisan hadapan

SERDANG, 5 Mei 2020 - Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan sebanyak 1,255 liter iaitu untuk 8,500 botol (80 mililiter) dan 575 liter isian semula cecair sanitasi tangan atau handrub sanitizer dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua projek tersebut, Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Dr Nadiah Mad Nasir berkata projek itu meliputi dua fasa iaitu fasa pertama bersama Global Innovation through Science and Technology (GIST) manakala fasa kedua menerima dana beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Surau Al-Ansar Taman Suria Tropika dan Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM).

Beliau berkata produk UPM tersebut disumbangkan secara percuma untuk petugas barisan hadapan di Pusat Kesihatan Universiti, Hospital Pengajar UPM, perkhidmatan penting di kampus UPM, pelajar-pelajar UPM, warga B40 sekitar Serdang, Putrajaya, Cyberjaya, Kelang, Kuala Lumpur dan beberapa zon merah jangkitan Covid-19.

“Produk ini mematuhi piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggunakan isopropil alkohol sebanyak 75 peratus sebagai bahan aktif utama dan gliserol sebagai bahan emolien.

“Dua buah makmal pengajaran kimia telah digunakan sebagai tapak penghasilan dan pengisian cecair sanitasi tangan dengan mematuhi kaedah keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata pasukan mereka terdiri daripada pegawai sains dan penolong pegawai sains terdiri daripada Zaidina Mohd Daud, Naszroul Haqimee Rahmat, Muhamad Fazhli Roslan, Abdul Latif Shaari, Nurshakinah Azmi dan Nor Azura Zulkafly.

Sementara itu Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Mohd Basyaruddin Abdul Rahman berkata cecair sanitasi tangan sangat diperlukan di pelbagai sektor terutama untuk para petugas di barisan hadapan, tetapi bekalannya agak terhad di samping peningkatan kos yang ketara akibat permintaan yang tinggi.

“Sehubungan itu Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris telah mendorong Fakulti Sains untuk menerajui kerjasama komuniti dengan NGO pada masa genting ini.

“Jabatan Kimia menyambut baik inisiatif Murali Prasad daripada GIST untuk program ‘function of Science’ untuk menyertai projek komuniti cecair sanitasi tangan yang melibatkan beberapa makmal Jabatan Kimia di beberapa universiti awam Malaysia,” katanya.  

Selain daripada ahli fasa pertama yang turut membantu, projek fasa kedua itu turut dibantu oleh pensyarah kanan, pegawai sains dan penolong pewgawai sains terdiri daripada Dr Nor Azam Endot, Shareena Safiai, Mustaqim Muhammad dan Nur Aisyah M Rosli. - UPM

 

 

SXDdOA~