| Universiti Putra Malaysia

Faktor usia bukan halangan nenek lanjut Master

Oleh Cheng Kai Wah

SERDANG, 18 Nov – Seorang nenek, Dayang Masnah Abang Dawi, 54, yakin bahawa faktor usia bukan satu halangan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Master.

Beliau berjaya menerima ijazah Master Pembangunan Sumber Manusia – Pengajian Jarak Jauh (PJJ) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-43 pagi ini.

Selepas pengajian diploma di Institut Teknologi MARA Kuching, beliau mendaftarkan diri dalam Bacelor Pembangunan Sumber Manusia – PJJ pada tahun 2012 dan Master Pembangunan Sumber Manusia – PJJ pada tahun 2017 di UPM.

Dayang perlu menghadiri perjumpaan dengan pensyarah selama dua hingga tiga kali untuk setiap semester dengan berulang alik dari Kuching ke UPM kampus Serdang.

Dengan berusaha gigih sepanjang tempoh pengajian, beliau yakin kemahiran pengurusan masa adalah faktor utama untuk mencapai kejayaan bagi seseorang yang bekerja dan belajar secara sambilan. Selepas waktu bekerja, beliau akan mula membuat ulang kaji kursus Master dengan konsisten.

“Saya selalu menasihati anak-anak dan cucu saya supaya sentiasa menghargai masa untuk menimba ilmu baru dan kemahiran berguna kerana saya berpendapat, kalau nenek mampu, kenapa anda tidak” kata Dayang yang mempunyai 3 anak dan 5 cucu.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat telekomunikasi di Kuching bercadang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (Ph.D). - UPM

WXEZLAq~