Empat Saintis UPM Dilantik Felo ASM, Lima Diiktiraf Sebagai TRSM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Empat saintis UPM dilantik Felo ASM, lima diiktiraf sebagai TRSM

Empat saintis UPM dilantik Felo ASM, lima diiktiraf sebagai TRSM

Oleh Azman Zakaria

 

Oleh: Azman Zakaria

 

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Empat saintis dan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dilantik sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), manakala lima lagi diiktiraf sebagai Top Research Scientists Malaysia (TRSM) 2018.

 

Mereka menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada majlis di ibu negara, hari ini.

 

Empat yang dipilih sebagai Felo ASM ialah Prof. Dr Mohd Adzir Mahdi FASc dari Fakulti Kejuruteraan; Prof. Dato’ Dr Mohd Yazid Abd Manap FASc (Institut Penyelidikan Produk Halal); Prof. Dr Paridah Md Tahir FASc (Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP); dan Prof. Dr. Mansor Ahmad FASc (Fakulti Sains). 

 

Felo ASM terdiri daripada saintis, jurutera, ahli teknologi dan ahli sains sosial yang berkaliber yang membuat sumbangan bermakna dalam bidang masing-masing.

 

Individu dengan merit, yang menunjukkan nilai integriti dekorum tinggi sepanjang masa dengan ciri-ciri penting sebagai duta pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa dicalonkan setiap tahun. Anugerah felo diberi berdasarkan proses pemilihan ketat merangkumi lapan bidang disiplin.

 

Sementara itu, lima yang diiktiraf sebagai TRSM ialah Prof. Dr. Abdul Rashid Mohamed Shariff dan Prof. Madya Ir Dr Aduwati Sali (kedua-duanya dari Fakulti Kejuruteraan); Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris (Fakulti Pengajian Alam Sekitar); Prof. Dr. Rozita Rosli (Laboratori Penyelidikan Kanser UPM – MAKNA, Institut Biosains); dan Prof. Dr. Suraini Abd Aziz (Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul).

 

UPM merupakan universiti kedua teramai daripada jumlah 24 saintis dan penyelidik keseluruhan yang diiktiraf sebagai TRSM bagi 2018.

 

TRSM dimulakan pada 2010 melalui inisiatif ASM dalam mengenalpasti dan mengiktiraf ahli sains dan penyelidik Malaysia yang aktif menjalankan penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan pengetahuan baharu, membuat penemuan dan mencipta peluang nilai-tambah, serta menghasilkan penyelidikan yang bermakna dan berimpak seterusnya menyumbang kepada transformasi sosio-ekonomi. -  UPM

 

 

 

Tarikh Input: 05/11/2018 | Kemaskini: 09/11/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563351937