Ejen Pengambilan Pelajar Antarabangsa Sertai Program ‘Meet & Greet With UPM’s Registered Agents’ | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Ejen pengambilan pelajar antarabangsa sertai Program ‘Meet & Greet With UPM’s Registered Agents’

Ejen pengambilan pelajar antarabangsa sertai Program ‘Meet & Greet With UPM’s Registered Agents’

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 22 Jan: Sebanyak 76 ejen pengambilan pelajar antarabangsa sepenuh masa yang berdaftar dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Program ‘Meet & Greet With UPM’s Registered Agents’ di sini.

Program itu adalah sebagai wadah latihan untuk membantu mereka memberikan penerangan serta maklumat yang betul dan tepat berkenaan UPM.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan berkata, program itu bagi membantu dalam mempromosikan program-program akademik yang ditawarkan di UPM.

“Ia bagi menarik dan meningkatkan lagi bilangan pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di UPM,” katanya ketika berucap pada majlis itu. Turut hadir Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm), Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman.

Program itu dianjurkan oleh CosComm dengan kerjasama Sekolah Pengajian Siswazah, Bahagian Akademik, iPUTRA dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

Prof. Ts. Dr. M. Iqbal berkata, dengan penerangan yang jelas oleh ejen mengenai pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan oleh UPM, pelajar antarabangsa akan memperoleh maklumat yang tepat dan menarik mereka untuk menyambung pengajian di UPM.

Katanya, pelajar antarabangsa yang mahu melanjutkan pengajian di luar dari negara masing-masing biasanya mahu merasai pengalaman, suasana baharu dan persekitaran yang menarik, serta melihat kemudahan yang terdapat di sesebuah universiti, dalam membuat pemilihan tempat bagi menyambung pelajaran.

Sehubungan itu, katanya, ejen-ejen pengambilan pelajar antarabangsa sepenuh masa yang berdaftar dengan UPM perlu dibekalkan dan mempunyai maklumat yang terperinci mengenai UPM. 

Terdahulu, ejen-ejen itu turut dibawa meninjau sekitar kampus (campus tour) antaranya ke Pusat Sukan, Pusat Kesihatan Universiti, dan perpustakaan untuk melihat sendiri kemudahan itu. - UPM   

 

 

Tarikh Input: 07/02/2020 | Kemaskini: 12/03/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKUDAP:03:18