| Universiti Putra Malaysia

Dua penyelidik UPM terima anugerah dalam Malaysia’s Rising Star Award

Oleh Syifarida Muhamad Zaki



LANGKAWI, 3 Sept – Dua penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu Prof. Dr. Luqman Chuah Abdullah dari Jabatan Kejuruteraan Kimia & Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan dan Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Jabatan Kimia Fakulti Sains dinobatkan sebagai penyelidik elit tempatan dalam Malaysia’ s Rising Star Award.

Mereka adalah antara 14 orang yang menerima anugerah itu kerana menghasilkan artikel paling kerap digunakan sebagai rujukan oleh penyelidik seluruh dunia merangkumi 21 bidang penyelidikan.

Artikel mereka itu diekstrak daripada Petunjuk Sains Perlu (ESI) bagi tempoh 2005 hingga 2014 oleh agensi pengindeksan antarabangsa, Thomson Reuters yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Penganugerahan sebagai penyelidik elit tempatan merupakan satu pengiktirafan tertinggi dalam sistem pendidikan negara.

Pencapaian itu hasil daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan sebelum ini seterusnya menjadi pemangkin kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi) bagi meningkatkan lagi prestasi penyelidik tempatan di masa hadapan.

Pengiktirafan itu adalah hasil daripada usaha Thomson Reuters, Pusat Sitasi Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam meningkatkan status penyelidikan negara seterusnya mengiktiraf mereka bukan sahaja di peringkat negara malah antarabangsa.


Prof. Dr. Luqman Chuah Abdullah, Jabatan Kejuruteraan Kimia & Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan


Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Jabatan Kimia Fakulti Sains


Prof. Dr. Luqman Chuah Abdullah berkata pengiktirafan itu merupakan satu penghargaan pihak KPT dan Thomson Reuters kepada semua penerima yang telah berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang penyelidikan masing-masing selama ini.

“Pengiktirafan ini menjadi satu pembakar semangat untuk meningkatkan motivasi diri menyumbang bakti kepada bidang penyelidikan dan universiti.

“Saya berharap ia akan menjadi satu sumber motivasi kepada penyelidik lain untuk turut berusaha mendapat pengiktirafan tersebut pada masa akan datang.

“Penghasilan penyelidikan dan penulisan ilmiah berkualiti yang berjaya diterbitkan serta diindeks ke dalam pangkalan data antarabangsa terkemuka membuktikan bahawa anak tempatan mampu menyaingi saintis terhebat dunia.

“Setelah menerbit lebih daripada 220 artikel berindex sejak tahun tahun 2003 hingga kini dalam bidang kejuruteraan kimia, saya boleh menyimpulkan bahawa kemajuan yang saya  capai pada hari ini tidak berlaku sekelip mata, tetapi berkat usaha dan perancangan rapi serta hasil daripada sokongan dan galakan yang diberikan oleh  pihak UPM,“ katanya.

Naib Presiden IP & Science ASEAN and North Asia, Thomson Reuters, Arto Valio dalam kenyataannya berkata mereka menyokong Malaysia dalam pembangunan penemuaan saintifik dan bersedia untuk bekerjasama dengan KPT di dalam mengiktiraf penyelidik-penyelidik tempatan di peringkat antarabangsa dalam bidang masing-masing.

“Kami sentiasa menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) komuniti penyelidik dan perniagaan Malaysia bagi membantu mengenalpasti kecemerlangan penyelidikan bertaraf dunia,” katanya.

Seramai 12 lagi penerima anugerah itu ialah penyelidik daripada Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Teknologi Malaysia.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada majlis perasmian Persidangan Kebangsaan Penerbitan Jurnal Berimpak Tinggi, Pemberian taraf CREAM dan Malaysia’s Rising Star Award di sini.

Sementara itu, sebanyak 13 jurnal tempatan turut terpilih sebagai penerima Skim Galakan Penerbitan setelah hasil aktiviti penyelidikan mereka memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data antarabangsa.

Daripada keseluruhan jurnal yang terpilih itu, sebanyak tiga jurnal tempatan diindeks dalam Web of Science (WoS) dan 10 lagi diindeks dalam pangkalan data bibliografi SCOPUS.


WXEZLAg~