Dua Pelajar UPM Terima Anugerah Ikon Varsiti Berita Harian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dua pelajar UPM terima Anugerah Ikon Varsiti Berita Harian

Dua pelajar UPM terima Anugerah Ikon Varsiti Berita Harian

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Gambar: Marina Ismail



PUTRAJAYA, 27 Februari (UPM)-  Dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Anwarrul Aswad Ahmad dan Chia Wen Shin terima Anugerah Ikon Varsiti Berita Harian 2013.

Anwarrul Aswad yang juga atlet negara dalam sukan ragbi dan pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi memenangi Kategori Individu (Sukan), sementara Wen Shin, pelajar Fakulti Pengajian Alam Sekitar UPM memenangi Kategori Individu (Pengantarabangsaan) dengan menerima wang tunai RM2,000 dan trofi daripada Timbalan Menteri Pendidikan II, Encik P. Kamalanathan.

Selain itu, Ahmad Bukhari A. Rahim yang merupakan finalis anugerah Kategori Individu (Kepimpinan) dan Kelab Nasyid Nahwan Nur, Kategori Kumpulan (Seni Budaya) yang meraih hadiah sagu hati bagi kategori berkenaan.

Chia Wen Shin, pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar berkata beliau tidak menjangkakan projek  perusahaan  sosial  untuk mengumpulkan minyak masak terpakai dan kemudiannya mengitar semula ke dalam eco-sabun serta menjualnya di sekitar Selayang melayakkan beliau berjaya memenangi anugerah tersebut.

“Hasil keuntungan telah disumbangkan kepada organisasi kebajikan dalam membantu berkaitan isu-isu alam sekitar. Projek saya turut terpilih sebagai projek yang terbaik di peringkat Malaysia,” katanya.



Selain itu, beliau pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai program antarabangsa di luar negara antaranya di Amerika Syarikat, Jerman, India dan Singapura.

“Saya percaya dengan adanya penganugerahan sebegini oleh Berita Harian pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia akan bermotivasi melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ko-kurikulum di bukan sahaja di dalam negara, malah ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, Anwarrul Aswad yang merupakan pelajar Bacelor Komunikasi dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kampus UPM berkata penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan kepada beliau yang berstatus atlet negara dan kapten pasukan ragbi UPM untuk terus memajukan sukan negara.

“Saya akan terus menyumbangkan pengalaman saya  yang peroleh di dalam dan luar negara terutama dalam bidang sukan ragbi dalam melahirkan atlet kelas pertama di institusi pengajian tinggi negara serta pelapis atlet yang cemerlang bukan sahaja di bidang sukan malah akademik,” katanya.

 



Anugerah Ikon Varsiti BH 2013 kali kedua dianjurkan oleh Berita Harian menerusi sisipan pendidikan khusus untuk penuntut IPT iaitu Varsiti mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia mengiktiraf sumbangan pelajar tempatan yang aktif bukan sahaja dalam bidang akademik malah kokurikulum.

Anugerah itu buat julung kalinya memperkenalkan Anugerah Perdana Ikon Varsiti yang dimenangi oleh pelajar Universiti Tun Hussein Onn, Johor serta pertandingan dua kategori iaitu individu dan kumpulan membabitkan 10 anugerah termasuk kepimpinan, sukan, inovasi sosial, reka cipta, keusahawanan, kesukarelawan, projek khidmat sosial dan seni budaya. – UPM

-- nej/kgo


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
C1563578727