Dua Pelajar FRSB Menang Emas ‘Autodesk ASEAN Design Competition’ | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dua pelajar FRSB menang emas ‘Autodesk ASEAN Design Competition’

Dua pelajar FRSB menang emas ‘Autodesk ASEAN Design Competition’


Oleh: Azman Zakaria

KUALA LUMPUR, 10 April - Dua pelajar Bachelor SainsSeni Bina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Yap Heng Hee dan Tan Mei Shan memenangi pingat emas kategori senibina pada pertandingan Autodesk ASEAN Design Competition 2015.

Mereka memenangi emas melalui projek Amphibious Habitat iaitu rekabentuk rumah pintar bagi berdepan situasi banjir.

Pertandingan itu dianjurkan sebuah syarikat Singapura dan ditaja oleh Autodesk, dan melibatkan peserta termasuk dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina.

 Heng Hee berkata, Amphibious Habitat direkabentuk hasil daripada inspirasi rumah tradisional masyarakat Melayu.

Katanya, rekabentuk rumah prototaip itu dicadangkan untuk kawasan di pertemuan Sungai Semantan dan Sungai Pahang di Temerloh, yang hampir setiap tahun menghadapi banjir.

Katanya, konsep rumah itu adalah berlantaikan kayu dengan keluasan kira-kira 40 meter persegi dan selesa diduduki oleh tiga orang, serta menggunakan sumber tenaga diperbaharui seperti solar, sistem pengumpulan air hujan dan sistem penapisan air ‘bio-sand’ bagi mendapatkan air bersih, dan teknologi akuaponik untuk membela ikan.

“Tiangnya adalah buluh, manakala ‘concrete mooring post’ pula adalah struktur yang digunakan bagi mekanisme pengapungan. Rumah ini didirikan di atas ‘detached concrete stilts’ yang menampung bebanan rumah ketika ia tidak terapung,” katanya dalam temubual.

Katanya, perabot pelbagai guna (multifunctional furniture) digunakan dalam rumah itu bagi membolehkan penggunaan ruang yang fleksibel.

Menurutnya, bagi menghasilkan Amphibious Habitat, mereka melakukan kajian kes beberapa hari pada awal tahun 2015 mengenai rekabentuk rumah di Netherlands, negara yang paras air lautnya lebih tinggi daripada daratan.

Bagaimanapun, katanya, proses menghasilkan Amphihious Habitat  ini daripada lawatan tapak, merekabentuk, dan penghasilan lukisan bagi ‘presentation boards’ mengambil masa kira-kira satu bulan. 

Heng Hee berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu memenangi pingat emas pertandingan itu ketika melayari laman web penganjur, dan terus menghubungi  Mei Shan yang ketika itu berada di Pulau Pinang.

“Saya tidak menjangka akan menang kerana projek peserta lain juga hebat. Saya gembira dengan kemenangan ini,” katanya.

Selain pingat emas dan sijil,  mereka juga menerima penajaan bagi menyertai Autodesk Bootcamp Panaroma di Singapura dari 21 hingga 25 Mac 2016, yang disertai peserta negara-negara Asia.

Mei Shan turut terkejut apabila mendapat tahu dari Heng Hee bahawa mereka memenangi pingat emas pertandingan Autodesk ASEAN Design Competition  itu.

“Saya gembira dan bangga kerana FRSB UPM boleh mencapai kejayaan ke peringkat itu melalui bimbingan pensyarah,” kata Mei Shan. Mereka berterima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan yang memberi bimbingan serta galakan. - UPM





Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506248119