| Universiti Putra Malaysia

Dua Atlet Hoki Negara Raih Bacelor Pendidikan Selepas Tangguh Tiga Hingga Tujuh Tahun

Oleh Cheng Kai Wah

SERDANG, 16 Nov – Graduan Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani), Fakulti Pengajian dan Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Noor Amarina Ruhani, 30, dan Raja Norsharina Raja Shabuddin, 28, telah berjaya mendapat ijazah sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-43, hari ini, selepas menangguhkan pengajian masing-masing antara tiga hingga tujuh tahun.

Siti merupakan ketua pasukan hoki wanita peringkat negara. Beliau berjaya merangkul tiga pingat emas dalam Sukan Asia Tenggara dari tahun 2013 hingga 2017 dan tempat kedua dalam pertandingan liga hoki wanita dunia di Kuala Lumpur pada 2017. Disebabkan komitmen dalam bidang sukan, beliau pernah rasa putus rasa dalam pengajian atas kepenatan mental dan fizikal.

“Bukan perkara mudah bagi seorang atlet untuk menghabiskan pengajian kerana pengalaman pembelajaran atlet lain daripada seorang mahasiswa biasa. Saya pernah tidak tidur selama empat hari untuk menghabiskan amali kursus saya,” kata Siti.

“Saya juga berasa bersyukur kerana saya dikelilingi pensyarah dan rakan sekelas yang berdedikasi dan banyak membantu saya terutamanya berbagai-bagai temasya besar sedang dijalankan,” tambah Siti.

Sementara itu, Raja merupakan seorang pemain hoki negara yang telah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan World Hoki Series 2019 di Iceland. Walaupun beliau terpaksa menangguhkan pelajaran selama tiga tahun tetapi beliau amat berpuas hati atas apa jua yang dimilikinya.

“Saya berpendapat bahawa seorang mahasiswa tidak harus berasa malu dan sentiasa minta pendapat daripada pensyarah ketika mengalami sebarang masalah dalam tugasan kursus kerana malu bertanya sesak jalan kemudian,” kata Raja.

Raja juga merupakan penerima Pingat Razlan Putra sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-43. “Walaupun saya menghadapi berbagai-bagai cabaran sepanjang tujuh tahun ini tetapi saya amat berasa amat terharu ketika melihat wajah kegembiraan kedua-dua ibu bapa saya tadi,” Raja turut berkata.

Dengan mengambil kesempatan ini, Raja ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa, pensyarah UPM, rakan sekelas, pelatih hoki dan sesiapa sahaja yang pernah membimbing beliau sehingga hari ini.

Sekarang, Siti bercita-cita untuk menjadi seorang jurulatih hoki untuk membangunkan sukan hoki demi negara manakala Raja sedang fokus berlatih untuk Sukan Asia Tenggara dalam acara hoki dewan yang bakal dijalankan di Filipina. - UPM 

WXDdGA~