Dr. Zuriati Menang Dua Anugerah Di World Scientist Awards | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dr. Zuriati menang dua anugerah di World Scientist Awards

Dr. Zuriati menang dua anugerah di World Scientist Awards



SEOUL, 4 Dis 
- Pensyarah Jabatan Teknologi Komunikasi dan Rangkaian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zuriati Ahmad Zukarnain memenangi ‘World Woman Science Grand Award'’ di 3rd World Scientist Awards (WSA) 2016 di Seoul, Korea Selatan.

Ia hasil sumbangan beliau dalam menghasilkan produk yang inovatif melalui penyelidikan yang dijalankan dalam bidang sains, seterusnya menghasil dan mengkomersilkan hasil inovasi beliau iaitu Quantum Communication Simulator (QuCS).

Beliau turut memenangi 'Innovative Inventor Grand Award’ bagi ‘Order of Merit: Information Technology’ di 5th World Inventor Award Festival (WIAF) 2016 yang merupakan pengiktirafan terhadap produk penyelidikan yang kreatif, inovasi dan juga melibatkan pemindahan teknologi melalui produk beliau, QuCS.

Selain memenangi anugerah itu, beliau juga dilantik sebagai Professor Pelawat oleh Korea Invention Academy (KIA) bermula dari 4 Disember 2016. Pelantikan sebagai Profesor Pelawat itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan beliau dalam bidang akademik, penyelididkan dan pembangunan, pengkomersilan, harta intelek dan inovasi antarabangsa.

World Scientist Awards 2016 dan World Inventor Award Festival 2016 dianjurkan oleh Korea Invention News (KINEWS) yang dinaungi oleh International Federation of Invention Association (IFIA) dan World Inventors Association (WIA).

Prof. Madya Dr Zuriati bersama kumpulan penyelidikannya iaitu pelajar PhD dari FSKTM UPM, Roszelinda Khalid turut menerima sijil, medal dan trofi pada majlis berkenaan yang disampaikan oleh Pengerusi, Presiden Suruhanjaya WIAF Korea  Invention News (KINEWS), Soung-Mo Hong
Inovasi QuCS iaitu satu inisiatif  untuk mendekatkan masyarakat berkaitann ilmu sains fizik dalam domain sains komputer khususnya Quantum Communication yang dikatakan sukar untuk difahami oleh semua golongan.



QuCS juga dapat menjimatkan kos penyediaan peralatan eksperimen Quantum Communication yang kosnya hampir RM1 juta. Hasil eksperimen Quantum Communication dengan menggunakan QuCS mampu menghasilkan keputusan yang efisyen dan efektif. QuCS adalah aplikasi web berteraskan antara muka “drag and drop” yang menggunakan perkhidmatan awan iaitu, “Software as Services”.

Prof Madya Dr Zuriati berkata kemenangan meraih dua anugerah itu merupakan satu pengiktirafan bahawa hasil inovasi penyelidik  tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia malah juga memberi sumbangan signifikan kepada masyarakat antarabangsa.

"Pengiktirafan ini membuka ruang dan peluang produk tempatan ke arena antarabangsa," katanya.

Menurut KINEWS, anugerah ‘World Woman Science Grand Award'’ adalah pengiktirafan tertinggi untuk mengiktiraf penyelidik wanita dunia dalam mengetengahkan hasil produk inovatif dan signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi, manakala anugerah ‘'Innovative Inventor Grand Award bagi Order of Merit: Information Technology'’ adalah pengiktirafan tertinggi untuk mengiktiraf para penyelidik sebagai pereka cipta yang inovatif, sekali gus  membuka ruang dan peluang dalam mengetengah dan mengkomersilkan produk mereka. - UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511032810