Dr. Zetty Terima Geran Anugerah Merdeka 2017 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dr. Zetty terima Geran Anugerah Merdeka 2017

Dr. Zetty terima Geran Anugerah Merdeka 2017

Oleh Syifarida Muhamad Zaki

Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan

 

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Pensyarah Jabatan Biokimia, Fakulti Biteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zetty Norhana Balia Yusof dipilih sebagai seorang daripada tiga penyelidik menerima Geran Penyelidikan Penempatan Antarabangsa Anugerah Merdeka 2017.

Pemilihan itu dibuat berdasarkan kertas cadangan paling cemerlang (outstanding research proposal).

Dr. Zetty, 35 menerima anugerah geran itu atas penyelidikan beliau mengenai rumpai laut di Malaysia sebagai rawatan alternatif untuk epidemic pangkal batang (basal stem rot) yang dapat mengurangkan kulat Ganoderma boninense pada kelapa sawit.

Geran penyelidikan disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka di Menara Berkembar Petronas di sini.

Ketiga-tiga penerima geran itu  menerima penempatan jangka masa pendek untuk mengikuti projek atau program kerjasama di institusi, syarikat, agensi dan organisasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa selama tiga bulan untuk meningkatkan pengetahuan dalam penyelidikan bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Sultan Nazrin bertitah, Anugerah Merdeka berusaha untuk memupuk budaya kecemerlangan, menggalakkan pemikiran dalam kepemimpinan dan inovasi, serta memperluaskan dasar pandang global.

"Bagi mewarisi legasi untuk generasi akan datang, satu-satunya cara adalah mengekalkan kejayaan Malaysia sebagai pemain global yang dinamik, berdaya saing dalam sektor merangkumi sains dan teknologi kepada seni dan kemanusiaan.

“Tiga orang bakat muda Malaysia yang bersemangat perintis ini berpeluang mendapat manfaat daripada kerjasama bersama pakar-pakar terbaik dunia, mengumpul pengalaman berharga bagi bidang mereka dan mencari penyelesaian terbaik untuk kemaslahatan masyarakat sejagat,” titah baginda.

Geran Penyelidikan Penempatan Antarabangsa Anugerah Merdeka dilancar pada 2012 sebagai program khas di bawah kelolaan Anugerah Merdeka. Sehingga kini, seramai 11 anak muda Malaysia telah menerima geran itu, dengan lapan daripadanya telah menamatkan program penempatan antarabangsa. - UPM

Kemaskini:: 02/01/2018 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1531786099