| Universiti Putra Malaysia

Dr. Syed Abdul Rahman menang emas pameran inovasi dunia di Belgium


Oleh: Azman Zakaria
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 5 April - Pensyarah dan penyelidik Jabatan Kejuruteraan Sistem Komputer dan Komunikasi, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Syed Abdul Rahman  Al-Haddad Syed Mohamed memenangi pingat emas pada pameran “The World Exhibition on Inventions, Research and New Technologies” di Brussels, Belgium.

Beliau memenangi emas melalui penghasilan produk “GULAGA - Second Screen Video Information via Mobile Digital Video Identification.”

Sebanyak 192 produk daripada 20 negara menyertai pameran itu yang berlangsung dari 19 hingga 21 November 2015.

Prof. Madya Dr. Syed Abdul Rahman berkata produk Gulaga adalah carian video berdasarkan suara yang didengar.

“Bagi tujuan itu, sesuatu video itu akan diletakkan ciri keselamatan jalur tanda air (watermark) yang dimasukkan dalam isyarat audio,” katanya dalam temu bual.

Katanya beliau bersama rakan penyelidik, Prof Madya Dr. Abdul Rahman Ramli dan pelajar PhD, Mohamad Ali Nematollah berjaya menghasilkan algoritma yang dapat mengesan kerangka yang sesuai untuk dibenamkan dengan data jalur tanda air itu.

Dengan memanfaatkan trend sekarang iaitu ‘seseorang sentiasa  bersama telefon bimbit’, Prof. Madya Dr. Syed Abdul Rahman berkata, aplikasi Gulaga ini akan dimasukkan dalam telefon bimbit.

Menurutnya, apabila aplikasi ini digunakan, contohnya ketika menonton video, maka akan keluar maklumat berkaitan cerita yang dipaparkan pada video berkenaan.

Beliau berkata, ia sebenarnya adalah satu ciri keselamatan jalur tanda air kerana ia lebih kepada penyimpanan kod dalam video. Hanya mereka yang sudah mendaftar sahaja boleh membuka aplikasi yang dapat membaca jalur tanda air ini.

“Ini sesuatu yang ditunggu-tunggu… kerana sekarang ini banyak berlaku cetak rompak dan orang boleh meniru atau ‘duplicate’ sesuatu hasil kerja. Ciri keselamatan jalur tanda air ini, boleh mengatasi masalah itu,” katanya.


Beliau yang memenangi pingat emas dan sijil pada pameran itu, bersyukur atas kemenangan tersebut sambil berkata, ia sekali gus dapat mempromosi UPM dan produk UPM di peringkat dunia.

“Tentunya kita kecewa jika tidak memenangi apa-apa apabila menyertai pertandingan, dan apabila menang kita mesti bersyukur,” katanya sambil menjelaskan nama Gulaga itu diambil bersempena nama ‘Google’.

“Sekiranya seseorang hendak mencari sesuatu perkataan, kebiasaannnya mereka akan berkata ‘mari kita google’. Justeru, apabila kita hendak mencari sesuatu video, maka kita boleh kata ‘mari kita gulaga,’ iaitu carian video berdasarkan suara yang didengar,” katanya. – UPM

 


SXESIAs~