Dr. Razali Othman Menang AnugerahTesisTerbaik Yayasan Nurul Yaqeen | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dr. Razali Othman menang AnugerahTesisTerbaik Yayasan Nurul Yaqeen

Dr. Razali Othman menang AnugerahTesisTerbaik Yayasan Nurul Yaqeen

Oleh Azman Zakaria
Foto Noor Azreen Awang



SERDANG, 20 Jan -  Pengarah Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Razali Othman memenangi Anugerah Tesis Terbaik Yayasan Nurul Yaqeen 2015, anugerah yang diwujudkan sebagai dorongan dan pengiktirafan bagi merangsang penghasilan tesis bermutu tinggi yang dapat menyumbang kepada perkembangan ilmu secara signifikan.

Beliau memenangi kategori Anugerah Tesis Doktor Falsafah Terbaik bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan, yang disampaikan Pengerusi Eksekutif Akademik, Yayasan Nurul Yaqeen, Dato’ Wira Dr. Ismail Ibrahim pada majlis di Universiti Malaya, baru-baru ini.

Objektif anugerah adalah bagi menggalakkan penyelidikan dan penulisan tesis pasca ijazah yang bermutu tinggi dalam pelbagi bidang, menganugerahi penyelidikan dan penulisan tesis pasca ijazah yang terbaik, serta menerbitkan tesis yang menerima anugerah.

Tesis beliau bertajuk “Penggunaan Wang Fiat Sebagai Instrumen Wakaf Tunai: Satu KajianTeoretis” adalah bagi melihat sejauh mana wang fiat  yang digunakan hari ini menepati tujuan berwakaf.

Seramai 93 orang calon disenarai pendek, termasuk pencalonan dari luar negara sebelum bilangan itu dikurangkan kepada 10 orang sebagai calon akhir. Sepuluh calon akhir ini dipanggil membuat pembentangan dan sesi soal jawab di hadapan anggota panel yang terdiri daripada empat orang professor dalam bidang yang berkaitan, sebelum pemilihan pemenang dilakukan.



Katanya, beliau bersyukur atas kemenangan itu dan berterima kasih kepada UPM yang mencalonkan serta menaja beliau memasuki anugerah berkenaan, meskipun kajian doktor falsafah (PhD) itu dilakukannya ketika di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Kemenangan anugerah ini diharap menjadi pendorong kepada rakan-rakan Pegawai Tadbir yang lain untuk berusaha gigih dalam setiap apa yang dilakukan termasuk dalam menyiapkan tesis. Jika kita bekerja keras, kita boleh menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan,” katanya.

Ketika berucap pada majlis anugerah berkenaan, Dr. Razali berkongsi formula kejayaannya menyiapkan tesis itu iaitu beliau berpegang kepada prinsip mesti berusaha serta memohon secara bersungguh-sungguh kepada Allah SWT kerana ilmu itu adalah milikNya.

“Lakukan apa yang disuruhNya, jauhkan apa yang dilarang. Jangan tinggalkan solat lima waktu, malah kukuhkannya dengan solat sunat pada malam hari, serta perbanyakkan sedekah.

“Jangan sesekali berputus asa, mesti berusaha dan berdoa. Dalam perjalanan itu ada suka dan dukanya. Ketika berduka, carilah Allah. Ketika gembira, jangan kita lupa kepadaNya, berdoalah kepada Allah.

‘Kalau kita tolong agama Allah, Allah akan tolong kita,” katanya.

Beliau menerima trofi, wang tunai RM15,000 dan sijil. – UPM


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511347838