| Universiti Putra Malaysia

Dr. Aida menang pingat emas Tesis Terbaik IPT peringkat kebangsaan


Oleh: Azman Zakaria
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 7 April - Graduan PhD Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Aida Tayebian memenangi pingat emas Anugerah Tesis Terbaik Institusi Pengajian Tinggi (IPT)   peringkat kebangsaan, kategori Doktor Falsafah (PhD) sempena sambutan Hari Air Sedunia, baru-baru ini.

Dr. Aida, 30, dari Kerman, Iran yang mengikuti pengajian Kejuruteraan Sumber Air, Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan memenangi pingat emas itu melalui tesisnya bertajuk “Optimizing of Hydropower Reservoir System Using Genetic Algorithm For Various Climatic Scenario”.

Beliau menerima sijil, plak dan wang tunai RM5,000 yang disampaikan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada majlis sambutan Hari Air Sedunia, peringkat kebangsaan di Putrajaya, Mac lalu.
 
Dr. Aida yang menamatkan pengajian PhD di UPM pada 2015 berkata, tesis yang dibuatnya itu berkaitan perubahan iklim dunia yang boleh mendatangkan krisis air dan bagaimana menanganinya serta membina lebih banyak loji janakasa.

“Pada masa depan, beberapa negara dijangka berdepan krisis air yang berpunca sama ada kerana kurangnya hujan atau bertambahnya hujan,” katanya ketika ditemubual di  UPM di sini.

Justeru katanya, untuk tempoh 30 tahun dari sekarang, sesuatu perlu dilakukan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim kepada alam dan manusia


Mengenai anugerah yang dimenanginya, katanya, beliau sama sekali tidak menyangka tesisnya itu yang memfokuskan  situasi di Cameron Highlands, dipilih untuk memenangi anugerah emas tesis terbaik IPT.

“Saya sudah pun pulang ke Iran… penyelia saya Prof. Thamer Ahmed Mohammed Ali menghubungi saya memaklumkan akan menghantar tesis saya itu bagi pertandingan berkenaan.

“Saya kembali semula ke Malaysia pada 10 Mac untuk bercuti dan tidak lama kemudian mendapat emel daripada penganjur  memaklumkan saya memenangi anugerah emas.

“Saya terkejut dan pada masa sama juga gembira…  saya menghantar emel itu kepada Prof Thamer dan beliau membalas emel saya serta juga menelefon saya memaklumkan ia adalah benar,” katanya.

Katanya, anugerah yang dimenanginya itu akan menjadi pembakar semangat untuknya  terus berusaha keras dalam kerjayanya.

“Saya akan pulang ke Iran dan sudah memperoleh pekerjaan di sebuah jurnal di Kerman,” katanya. - UPM   


SXESPAb~