Dr Abhimanyu Guna Analogi Untuk Orang Awam Mudah Fahami Kanser | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Dr Abhimanyu guna analogi untuk orang awam mudah fahami kanser

Dr Abhimanyu guna analogi untuk orang awam mudah fahami kanser

Oleh Azman Zakaria
Foto Marina Ismail


SERDANG, 20 Jun - Membentang dan menghuraikan fakta secara padat mengenai kanser dalam tempoh masa tiga minit menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami oleh orang awam adalah begitu mencabar, kata Dr Abhimanyu Veerakumarasivam yang memenangi  pertandingan berprestij komunikasi sains Famelab Antarabangsa 2016 di Cheltenham, United Kingdom, baru-baru ini.

Pensyarah dan saintis di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dalam tempoh singkat itu beliau perlu menyakinkan juri pertandingan.

Dr Abhimanyu mengatasi lebih 2,000 saintis dari 27 negara untuk muncul pemenang Anugerah Saintis Komunikasi Terbaik Dunia pada Festival Sains Cheltenham. Seramai 12 saintis bersaing di peringkat akhir.

Pada peringkat akhir beliau memilih tajuk kanser genetik sesuai dengan kepakaranya dalam bidang itu.

“Masa tiga minit untuk menerangkan kepada orang awam sebenarnya terlalu singkat kerana banyak maklumat untuk dikongsi. Saya  perlu bijak memadatkannya, dan saya menggunakan analogi dalam penerangan supaya ia jelas dan mudah difahami.

“Jika semasa menyampaikan kuliah dalam kelas, kita ada objektif iaitu menyampaikan apa yang kita tahu, sebaliknya di sini kita bukan menyampaikan apa yang kita tahu tetapi menyampaikan apa yang perlu diketahui oleh orang awam,“ katanya yang dipilih menyertai festival itu selepas muncul juara peringkat kebangsaan pada April lalu.

Dr Abhimanyu yang juga Pengerusi Jaringan Saintis Muda, Akademi Sains Malaysia berkata peserta juga perlu menjawab soalan yang diajukan oleh juri ketika sesi soal jawab selama kira-kira lima minit.

Selepas terpilih antara 12 peserta yang layak ke peringkat akhir, katanya, beliau berazam melakukan yang terbaik kerana semua peserta mempunyai peluang untuk menang.
“Saya terkejut dan tidak menduga dipilih sebagai pemenang.

“Apa pun kita mesti percaya kita boleh melakukannya. Slogan ‘Malaysia Boleh’ begitu besar maknanya. Kita mesti menanam sifat bukan sekadar melakukannya semata-mata tetapi boleh melakukannya di peringkat antarabangsa.,” katanya.

Pertandingan FameLab adalah antara pertandingan sains terbesar dunia yang menggalakkan saintis, ahli teknologi, jurutera dan pakar matematik berkongsi kepakaran dan pengetahuan dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam dalam masa tiga minit. - UPM

 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300612