| Universiti Putra Malaysia

Dr. Noor Ain terima IEEE WIE-ILC Award

Oleh Azman Zakaria


SERDANG,  7 Jun - Pensyarah kanan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Noor Ain Kamsani terpilih untuk menghadiri Persidangan Kepemimpinan Antarabangsa Wanita Dalam Bidang Kejuruteraan (WIE-ILC), IEEE ke-3, di San Jose, California, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Beliau diberi anugerah yang merupakan ‘conference travel award’ oleh IEEE Council on Electronic Design Automation (CEDA) untuk menghadiri persidangan itu yang berlangsung pada 23 dan 24 Mei lalu.

CEDA menawarkan anugerah tersebut kepada  tiga orang untuk menghadiri persidangan itu. Dua yang lain ialah Prof. Dr. Ramalatha Marimuthu dari Kumaraguru College of Technology, India, dan Prof. Madya Dr. Eli Bozorgzadeh dari University of California, Amerika Syarikat.

Pemberian anugerah itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan kepelbagaian rekabentuk automasi elektronik (EDA) dan membantu menambah bilangan wanita memegang jawatan kepemimpinan dalam akademia dan industri dalam bidang EDA.

Lebih 1,200 anggota delegasi menghadiri persidangan itu yang memberi peluang untuk mereka bertemu dan berbincang dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) wanita dari Lembah Silikon yang sudah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Dr. Noor Ain berkata persidangan memberi penumpuan kepada kepemimpinan wanita dalam bidang kejuruteraan, dengan penceramah serta pembentang kertas kerja sesi plenary utama adalah ketua-ketua pegawai eksekutif di Lembah Silikon.

“Ia amat baik, saya dapat bertemu dengan mereka yang berada dalam bidang sama,  yang sudah berjaya dan juga yang baharu memulakan karier.

“Saya juga berpeluang melihat teknologi terkini di mana mereka turut berkongsi pengalaman syarikat masing-masing dalam kaedah mempromosikan inovasi,” katanya. – UPM

 


WXETSA0~