| Universiti Putra Malaysia

Dokumentari Upm-Finas Menang Festival Foto Dan Filem Dokumentari ASEAN 2013

 Dr Megat Al Imran Yasin menerima Anugerah Tempat Pertama Kategori Dokumentari dari Menteri Informasi dan Komunikasi Vietnam Nguyan Bac Son


HANOI, 20 Feb - Filem dokumentari terbitan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berjudul 'Jungle Beat' berjaya mendapat tempat pertama kategori video dan dokumentari pada Festival Foto dan Dokumentari Filem ASEAN 2013, di sini. 

Dokumentari arahan pensyarah Jabatan Komunikasi, Dr. Megat Al-Imran yang juga ketika ini dipinjamkan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS

mengisahkan fenomena unik keupayaan penduduk di kawasan pendalaman Pahang dan Kelantan memanggil haiwan liar datang kepada mereka dengan paluan irama ranting kayu. 

"Haiwan seperti kancil datang menari-menari apabila mendengar irama ini. Fenomena ini menunjukkan ikatan yang rapat antara manusia dan haiwan dan juga satu tradisi yang perlu diwarisi kepada generasi akan datang.

“Dokumentari 'Jungle Beat ini juga pernah memenangi Anugerah Emas dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi  UPM pada tahun 2012. Geran penyelidikan dan penerbitan dokumentari ini ditaja sepenuhnya oleh FINAS pada tahun 2010 lagi,” kata Dr Megat.

Beliau berkata FINAS dan UPM pertama kali menyertai festival ini dengan menghantar lima judul dokumentari apabila dijemput oleh Kementerian Informasi dan Komunikasi Vietnam di bawah program Jawatankuasa Informasi Asean.

 



Katanya daripada 5 judul itu, tiga daripadanya berjaya dicalonkan ke peringkat akhir di samping dokumentari dari Myanmar dan Vietnam. 

Festival kali ke-2 itu merupakan anjuran Kementerian Informasi dan Komunikasi Vietnam dengan tema 'Perlindungan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dalam komuniti ASEAN'. Pada tahun ini, lebih daripada 150 penyertaan dari negara-negara ASEAN mengikut kategori yang dipertandingkan iaitu foto, video dan dokumentari telah menghantar penyertaan.

Penganjuran festival kali ini adalah bertujuan mempromosikan dan menggalakkan kebersihan dan kehijauan ASEAN melalui foto, video dan dokumentari dengan menekankan pencapaian dalam melindungi alam sekitar. Ia juga mengiktiraf individu dan organisasi dari negara ASEAN yang menyumbang kepada aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

Turut hadir pada majlis di Hanoi Opera House itu ialah Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) S. Elangovan, Pengarah Pengurusan Produksi FINAS, Subaidah  Md. Top dan Penolong Pengarah Pengurusan Produksi (Antarabangsa) Mohd Nazrul Shah Hamid, . 

 


SXETSAm~