| Universiti Putra Malaysia

Dogathon himpun lebih 1,000 ekor anjing, kumpul dana haiwan terbiar

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 4 Mac – Sebanyak 1,019 ekor anjing dihimpun melalui program Dogathon 2018 bagi mengumpul dana Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (PRO-KASIH) anjuran pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Dr. Mohd Hair Bejo berkata, program itu dimulakan pada 1997 sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai haiwan terbiar.

“Program ini mampu meningkatkan tahap kesedaran di kalangan komuniti setempat berhubung penjagaan haiwan peliharaan dan kebajikan haiwan jalanan,” katanya.

Beliau berkata, Dogathon 2018 adalah medan untuk membincangkan langkah yang berkesan dalam mengatasi permasalahan haiwan terbiar itu.

“Dogathon dapat menyebarkan maklumat berkaitan haiwan kesayangan kepada orang ramai melalui pelbagai sudut seperti tanggungjawab sebagai pemelihara, penjagaan kesihatan haiwan, kaedah pelaksanaan penjagaan kebajikan haiwan terbiar serta maklumat kerjaya sebagai ahli veterinar,” katanya.

Program Dogathon 2018 yang bertemakan “Dogs Around The World” melantik DJ radio One FM, William San sebagai Duta Dogathon 2018. Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris dan Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Veterinar UPM, Prof. Dr. Siti Suri Arshad.

Antara baka anjing yang dihimpun ialah German Shepherds, Poodle, Golden Retriever, Siberian Husky, Malamute, Rottweiler, Great Dane, Corgi, Pittbull, Chow Chow, Shih Zhu, Labrador, Boxer, Pomeranian, Bull Terriers, Terriers dan Schnauzer.

Pengarah program, Nur Fadhilah Abd Shukor berkata program itu memberi pendedahan kepada pelajar Fakulti Perubatan Veterinar berkaitan persediaan sebelum memasuki lapangan pekerjaan dalam bidang perubatan veterinar.

“Pelajar berpeluang mengurus serta mengatur program berasaskan aktiviti kebajikan masyarakat. Ia turut memperkenalkan perkhidmatan Hospital Veterinar Universiti (UVH) UPM,” katanya.

Pelajar Tahun Tiga, program Doktor Perubatan Veterinar UPM, Khalil Muhsin Kamal Azhar berkata program itu membolehkan beliau mempelajari cara pengendalian haiwan kesayangan serta boleh mengubah stigma masyarakat Islam mengenai anjing.

“Program ini secara langsung melatih saya untuk menghadapi tugas di masa akan datang. Saya juga dapat berinteraksi dengan pengunjung mengenai haiwan kesayangan mereka,” katanya.

Rakannya Chang Sze Yin berkata, program itu memberi peluang kepadanya mempelajari ilmu baharu bidang veterinar, termasuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli jawatankuasa unit publisiti program.

“Sebagai bakal doktor perubatan veterinar, saya perlu mengetahui kaedah yang betul untuk berkomunikasi dengan umum dalam menyampaikan maklumat tepat. Saya turut mempelajari perilaku dan permasalahan anjing,” katanya. - UPM

 

 

 

WXEYKAN~