Halaman Selamat Datang
Jumaat, Ogos 01, 2014 
 
Berita »

UPM tingkat kualiti penyelidikan sains dan teknologi makanan




SERDANG, 19 Jan – Fakulti Sains Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) akan meningkatkan kualiti penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi makanan dengan kerjasama syarikat Det Norske Veritas Sdn. Bhd. (DNV).

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Tai Shzee Yew berkata kerjasama itu ialah melalui latihan dalam International Organisation for Standardisation (ISO), Good Management Practice (GMP) dan Food Safety Management System (FSMS).

“Kerjasama yang dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) ini bertujuan meningkatkan kualiti program pengajian, keberkesanan latihan industri dan keperluan industri kepada bakal graduan UPM.






“Kedua-dua pihak bersetuju menyediakan fasiliti dan kepakaran untuk meningkatkan kualiti penyelidikan, pembangunan dan inovasi dalam bidang ini,” katanya sebelum menandatangani MoU dengan Pengarah/Pengurus Pembangunan Perniagaan DNV, Dr. Shamsul Bahar Sadli di sini.

Sementara itu Dr. Samsul Bahar berkata pihaknya merancang beberapa aktiviti bagi memberikan pengalaman experimental learning kepada pelajar.

“Kami menyediakan perkhidmatan analisis dan pertukaran tenaga pakar kepada UPM untuk penyelidikan serta perkongsian pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi makanan.






“Pendekatan yang dilaksanakan bukan sahaja memperkenalkan pengajaran berlandaskan kepada teori tetapi mendedahkan pelajar kepada kajian kes berpandukan pengalaman industri,” katanya.

DNV merupakan badan persendirian yang memberikan perkhidmatan untuk menangani risiko melindungi kehidupan, harta benda dan alam sekitar.

Selain itu, portfolio DNV merangkumi aspek pengurusan kualiti, kecemerlangan operasi, pengurusan keselamatan dan kesihatan, pengurusan keselamatan makanan, pengurusan alam sekitar dan tenaga serta tanggungjawab korporat.