Halaman Selamat Datang
Rabu, Julai 30, 2014 
 
Berita »

Pelajar dan alumni wajar manfaat proses pengantarabangsaan pendidikan




SERDANG, 15 Okt –  Proses pengantarabangsaan pendidikan di universiti wajar dimanfaatkan oleh pelajar dan alumni , kata Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan Ariffin dalam ucapannya pada sesi keenam hari ketiga Majlis Konvokesyen UPM ke-36 di sini.

“Kehadiran graduan luar negara wajar dimanfaatkan  bagi membina hubungan  yang kukuh kerana cabaran tuntutan dunia tanpa sempadan pada masa hadapan akan dilalui lebih mudah.

“Graduan tempatan dan antarabangsa perlu membina pakatan alumni yang mantap dan menyumbang kepada pembangunan universiti dan negara masing-masing ,” katanya.

Beliau berkata UPM berjaya meningkatkan penghantaran pelajar keluar negara melalui program mobiliti antarabangsa pada tahun lalu seramai 271 pelajar kepada 435 pelajar pada tahun 2012.

Tan Sri Dato’ Setia Dr. Nayan berkata universiti perlu mentransformasi sistem dan operasi aktiviti agar menepati piawaian kualiti antarabangsa.

Pada tahun ini, seramai 6,200 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu 457 graduan PhD, 1,895 Master, 3,477 Bacelor dan 371 Diploma.






Terdahulu dalam ucapan sesi kelima hari yang sama, Pro Canselor UPM Tan Sri Dato’ Sri Lim Ah Lek berkata para graduan selaku golongan belia merupakan antara golongan yang menggerakkan ekonomi sesebuah kawasan.

Sehubungan itu beliau memuji peratus Kemahiran Keusahawanan pelajar tahun akhir UPM yang diukur melalui My3s meningkat daripada 56.87% pada tahun 2010 kepada 81.30% pada tahun 2011.

“Antara usaha UPM ialah kerjasama dengan Malaysia Trade Development Corporation (MTDC) bagi program keushawanan siswazah yang melibatkan pengkomersilan 13 teknologi terbaik ciptaan penyelidik UPM dan 16 usahawan siswazah melalui penubuhan syarikat perdagangan.

“Usaha lain ialah penubuhan 18 ruang perniagaan di Kampus UPM yang dikenali sebagai Putraniaga dan Putrabiz yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar,” katanya  di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Tan Sri Dato’ Sri Lim berkata usaha lain UPM ialah menawarkan kursus keusahawanan kepada semua pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan minat dalam bidang keusahawanan.

“Kejayaan UPM membida 17 projek bagi geran program pemindahan ilmu (Knowledge Transfer Programme) dengan nilai RM2.356 juta merupakan geran tertinggi dalam kalangan IPTA,” katanya.