| Universiti Putra Malaysia

Datuk Seri Dr. Noraini santuni pelajar UPM di Johor

Oleh: Noor Eszereen Juferi

BATU PAHAT, 2 Okt – Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyantuni pelajar Bacelor Kejuruteraan Kimia Dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Ilyas Mahmud Husni pada program Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin di sekitar Parit Sulong, di sini.

Datuk Seri Dr. Noraini berkata program itu bertujuan memperkasa kebajikan dalam kalangan warga Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan KPT serta memperkenalkan program berkenaan kepada masyarakat dengan menyediakan platform bantuan bagi meringankan beban kewangan pelajar IPT.

Beliau turut menyerahkan surat tawaran ke universiti UPM dan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM200, komputer riba dan Dermasiswa My Brighter Future sumbangan Yayasan Tenaga Nasional Berhad.

Selain itu, Datuk Seri Dr. Noraini turut menyantuni 22 pelajar IPT sekitar Parit Sulong.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar serta wakil universiti awam (UA) antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata UPM mewujudkan inisiatif Putra Cakna bagi menyantuni pelajar dan warga UPM yang terkesan pada pandemik COVID-19.

“Inisiatif Putra Cakna bermatlamat meningkatkan kesejahteraan pelajar serta warga UPM mendepani situasi mencabar dan memfokuskan kepada kesejahteraan secara lebih komprehensif serta inklusif,” katanya. - UPM

WXDTQAM~