Corporate Communication Talk Bersama Ahmad Izham Omar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Corporate Communication Talk bersama Ahmad Izham Omar

Corporate Communication Talk bersama Ahmad Izham Omar


Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG -  Pelajar Master Komunikasi Korporat (mod PJJ), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Corporate Communication Talk: “Making a Difference: Branding the TV/ Radio/New Media/Music Contents” membincangkan pembaharuan dalam penjenamaan di media massa bersama Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio Sdn. Bhd., Ahmad Izham Omar.

Ahmad Izham dalam sesi perkongsian beliau berkata kreativiti serta kelainan inovasi produk  adalah formula untuk mengukuhkan penjenamaan bukan sahaja dalam bidang media massa, malah pelbagai disiplin lain.

“Sebagai aspek penting dalam mana-mana perniagaan, penjenamaan membezakan tawaran anda daripada pesaing dan menggambarkan mesej dalam menentukan perbezaan produk yang anda wawarkan.

“Saya turut menggalakkan pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan kerana bidang ini membolehkan pelajar membentuk keaslian dalam membina idea serta kreativiti dan menjadi individu yang berbeza daripada yang lain hasil daripada idea yang dijana,” katanya.



Ketua program, Evelyn Edmund Motig berkata program yang bertemakan ‘branding’ itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar komunikasi korporat serta peserta lain mengenai kepentingan mempunyai penjenamaan yang kukuh di media massa.

“Ini selaras dengan perubahan landskap media yang meliputi media baharu yang telah banyak menyumbang kepada perubahan dalam industri media. Ini merupakan peluang pelajar untuk bertukar idea dan pandangan antara satu sama lain,” katanya.

Rakannya, Nabiela Mansor berkata penganjuran program tersebut memberikan pengetahuan baharu kepada dirinya dan rakan-rakan serta peserta dari universiti-universiti tempatan yang lain, kerajaan dan sektor swasta.

“Saya memperoleh ilmu baharu mengenai kepentingan penjenamaan serta kepentingan untuk mempelajari ilmu pelbagai bidang bagi menjadikan diri saya graduan dengan kebolehpasaran yang tinggi di dalam industri apabila bergraduat kelak,” katanya. - UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511183979