Cetakan 3D Bergred Perubatan Bolehkan Doktor Buat Simulasi Bedah Pesakit | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Cetakan 3D Bergred Perubatan bolehkan doktor buat simulasi bedah pesakit

Cetakan 3D Bergred Perubatan bolehkan doktor buat simulasi bedah pesakit

Oleh Azman Zakaria

Foto Saleha Haron

SERDANG, 22 Mac - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan inovasi Medical Grade 3D Print (MeG3rD) atau ‘Method’ yang mampu mengreplikakan cetakan 3D anatomi pesakit dengan nisbah 1:1 dibandingkan dengan patalogi (organ berpenyakit) yang sebenar.

Mutu teksturnya juga realistik mengikut keunikan atau keadaaan setiap kes, sekali gus membolehkan doktor menjalankan simulasi prosedur perubatan menggunakan cetakan 3D bergred perubatan bagi pra-perancangan rawatan ke atas kes-kes kompleks sebelum menjalankan prosedur sebenar terhadap pesakit.

Justeru, ia membantu doktor memperoleh pengalaman prosedur perubatan secara lebih realistik, seolah-olah menjalankan prosedur terhadap pesakit sebenar.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Dr. Ahmad Sobri Muda dari Jabatan Pengimejan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, berkata MeG3rD adalah model anatomi yang direka khas untuk digunakan bagi strategi rawatan perubatan yang menggabungkan data sebenar pesakit dan bahan mentah yang bergred perubatan untuk Cetakan 3D.

Katanya, ia bukan sahaja berupaya meniru sesuatu patalogi (organ berpenyakit) yang kompleks, bahkan tekstur yang dibangunkan juga hampir sama untuk menjadikan struktur anatomi itu lebih realistik.

Beliau berkata MeG3rD adalah unik kerana ia membantu doktor untuk memperoleh pengalaman sebenar melakukan prosedur perubatan seolah-olah sedang melakukannya ke atas pesakit sebenar.

Katanya, ia kerana bahan mentah yang digunakan menepati kehendak doktor dan cetakan 3D itu mengreplika kompleksiti pathologi sesuatu organ dengan nisbah 1:1.

“Faktor ini dapat meningkatkan keyakinan doktor dalam mengendalikan sebarang kes yang kompleks kerana inovasi MeG3rD ini seakan-akan replikasi prosedur perubatan yang sebenar, di samping memberi pengalaman kepada doktor seperti melakukan prosedur ke atas pesakit sebenar,” katanya.

Beliau berkata, teknologi itu membolehkan doktor mendapatkan hasil rawatan yang lebih baik, selamat dan mengurangakan komplikasi perubatan.

Prof. Dr. Ahmad Sobri juga berkata, MeG3rD boleh digunakan di bilik bedah atau bilik angiografi, serta menggunakan peralatan perubatan yang sebenar sekali gus menjadikannnya sesuai untuk persekitaran in-vivo bagi pra-perancangan rawatan prosedur perubatan sama ada ringkas atau kompleks.

“Ia menyediakan peluang untuk para doktor melakukan percubaan ke atas kes-kes perubatan yang kompleks sebelum mengendalikan kes terhadap pesakti yang sebenar.

“Ini dapat mengurangkan tempoh prosedur, dan memberi hasil yang lebih baik kepada permasalahan pesakit, sekali gus dapat mengurangakan tempoh berada di hospital serta mengurangkan kos keseluruhan sesuatu prosedur perubatan,” katanya.

Teknologi itu katanya, juga dapat meningkatkan latihan, kemahiran dan hasil rawatan para doktor terhadap pesakit.

“Inovasi ini dapat membantu meningkatkan prosedur perubatan ke arah lebih selamat dan terarah kepada keselamatan pesakit,” katanya.

Ahli lain dalam kumpulan penyelidik itu ialah pakar pengimejan Dr Yusri Mohammed, ketua projek Muhammad Izzat Ahmad Sabri, serta dua orang doktor perubatan dan saintis bahan mentah.

Penyelidikan bermula pada 2014 dan diteruskan di bawah program InnoHub UPM dalam usaha kebolehan pasaran projek. Sehingga kini validasi pasaran telah dilakukan dan berjaya menjual minimal viable product (MVP) pada 2017.

“Kini kami bersedia untuk menskalakan produk ini untuk menembusi pasaran Asean,” katanya. - UPM

Kemaskini:: 05/04/2018 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1532096372