CEO@Faculty Programme Bersama Tan Sri Tony Fernandes | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » CEO@Faculty Programme bersama Tan Sri Tony Fernandes

CEO@Faculty Programme bersama Tan Sri Tony Fernandes


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Noorazreen Awang

SERDANG – Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan  CEO@FacultyProgramme bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai industri, baru-baru ini.

Dalam sesi perkongsian itu, beliau menegaskan kepada pelajar UPM agar tidak gentar dengan kegagalan kerana ia adalah sebahagian daripada pengalaman hidup serta sebagai ‘senjata’ untuk persiapan masa depan yang cemerlang.

“Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda impikan. Saya menggalakkan anda untuk mencapai impian anda, menikmati kehidupan, menjadi individu yang positif dan mencari penyelesaian yang positif dalam apa jua permasalahan,” katanya.

Beliau turut memberikan beberapa amalan pengurusan untuk berjaya dalam memimpin sesebuah organisasi di jangka masa yang panjang.

“Anda harus memahami tugasan staf anda yang bekerja, budaya kerja adalah penting dalam sesebuah organisasi. Ketelusan adalah kunci kejayaan sesebuah organisasi. Saya sendiri masih ‘turun padang’ untuk memahami permasalahan dan keperluan staf di organisasi saya.

“Selain itu, perlu menjiwai kerjaya yang anda lakukan kerana ini akan meningkatkan lagi produktiviti serta idea dalam mempertingkatkan lagi kualiti kerja, penjenamaan dan pemasaran syarikat anda adalah ‘kuasa’ untuk membina inovasi baharu,” katanya.



Program perkongsian tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Pada tahun ini, Kementerian Pendidikan Tinggi melantik empat CEO serta Pegawai Kanan Kerajaan untuk berkolaborasi bersama UPM, pada Majlis Apresiasi & Penyampaian Watikah Pelantikan, CEO@FacultyProgramme, anjuran Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Di antara tugas CEO yang dilantik untuk CEO@FacultyProgramme adalah berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dunia korporat bersama staf UPM. Selain itu, untuk  bersama pelajar UPM bagi membentuk serta membimbing bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pembangunan sahsiah secara holistik.

Sementara itu, pada September tahun lalu, UPM telah menjemput Dr. Richard Parker, Pengarah Penyelidikan & Teknologi, Kumpulan Rolls-Royce.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (kini sebagai Kementerian Pengajian Tinggi) telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) [(PPPM (PT)] pada 7 April 2015 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.

Bagi menyokong lonjakan PPPM ini, kementerian telah melancarkan CEO Faculty Programme (CFP) bagi membangunkan graduan yang seimbang daripada segi akhlak dan ilmu dengan meningkatkan minda berpandukan nilai dan keusahawanan.

Melalui program ini, kerjasama industri akan dilibatkan melalui program pembelajaran melalui pengalaman, berserta kerangka penilaian bersepadu baharu yang melihat ke arah pembangunan holistik. CEO yang terlibat akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan bagi membentuk serta membimbing pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan. – UPM

 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511032572