| Universiti Putra Malaysia

Cabaran getir atlet memanah buah hasil

Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi 


SERDANG, 11 Jan - “Aku dah jatuh dan aku perlu bangkit.” Itulah kata-kata semangat graduan atlet memanah, Mohamad Azwannizal Mohd Yusof, yang menerima Ijazah Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44, hari ini.

Mohamad Azwannizal, 28, Taiping, Perak berkata, beliau pada awal pengajian di tahun 2016 hampir tersungkur kerana memperoleh keputusan CGPA yang rendah sehingga menyebabkan pinjaman wang pengajian PTPTN ditarik balik.

Selepas gagal di Fakulti Kejuruteraan, beliau bertukar bidang ke Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM dan berjaya memperoleh anugerah Dekan sebanyak dua kali dan sekali anugerah Naib Cancelor.

Kejayaan atlet memanah UPM itu tidak terhenti di situ apabila beliau sebagai jurulatih memanah bertauliah dengan memegang Lesen C Skim Kejurulatihan Kebangsaan, Institut Sukan Negara, membuka akademi memanah sendiri di Putrajaya.

“Pandemik COVID-19 sedikit merunsingkan saya untuk mencari peserta didikan saya, tetapi saya sangat bersyukur kerana dengan kebolehan dan kemahiran yang ada, saya dapat menjana sedikit pendapatan untuk saya menampung pengajian saya,” katanya.

Azwannizal yang memenang pingat perak pada Sukan IPT 2017 di Johor Bahru, berkata beliau perlu menguruskan masa secara bijak antara belajar dan menjadi jurulatih.

“Saya mengatur jadual kejurulatihan saya pada setiap Sabtu dan Ahad, manakala Isnin hingga Jumaat adalah hari untuk datang ke kelas.” katanya yang kini bekerja di sebuah institusi kewangan di sini.

Azwannizal yang berpegang pada prinsip untuk sentiasa berfikiran positif serta tidak berputus, berharap pelajar supaya keluar daripada comfort zone agar dapat membina jati diri yang lebih baik. - UPM

WXEYAA2~