| Universiti Putra Malaysia

‘Broken Family’ bukan penghalang untuk berjaya

Oleh: Faruq Irsyad Razali
Pelajar Bacelor Sains (Pembangunan Manusia)

SERDANG, 13 Jan – Dibesarkan oleh seorang ibu tunggal tidak mematahkan semangat Qistina Balqis Mohamad Zamri untuk belajar sehingga berjaya memperoleh Bacelor Sains Taman dan Rekreasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ke-44 pada hari ini.

“Kejayaan yang paling manis ialah apabila saya berjaya menamatkan pengajian dan naik ke atas pentas hari ini. Sebenarnya saya tiada banyak tips belajar, namun saya banyak meluangkan masa di perpustakaan untuk mengulang kaji dan mencari bahan rujukan,” kata anak jati kelahiran Perak itu.

Qistina Balqis, 25, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, antara cabaran sepanjang pengajian ialah daripada segi kewangan, dan beliau amat bersyukur dengan bantuan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya seorang yang pasif dan gayat, dan ini turut menjadi satu cabaran kerana dalam kos pengajian saya, kami banyak melakukan aktiviti rekreasi. Namun setelah beberapa lama, saya dapat menyesuaikan diri dan berasa seronok dengan kursus ini,” katanya.

Beliau yang kini bertugas sebagai eksekutif jualan di Pos Malaysia berharap dapat bekerja dalam bidang kursus pengajiannya.

“Antara kata-kata yang saya pegang dan selalu juga diingatkan oleh keluarga ialah untuk membanyakkan berdoa agar semua urusan dipermudahkan,” katanya. - UPM

SXEUJAX~