| Universiti Putra Malaysia

Bongkar rahsia kehebatan orang Melayu dalam ilmu pelayaran

Oleh Ayunie Inanie Arzmi

Foto oleh Nasrul Izam Kamaruddin 


SERDANG, 25 April - Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) menganjurkan Bicara Ilmu: Membongkar Rahsia Ilmu Pelayaran Melayu di Dewan Za’aba, Universiti Putra Malaysia (UPM) bertujuan memberi peluang kepada masyarakat mengetahui kehebatan orang Melayu dalam bidang ilmu pelayaran.

Melaluinya, ia boleh memupuk minat generasi muda untuk mengenali warisan Melayu seperti ilmu pelayaran dan mengkajinya dengan lebih mendalam.

Program itu juga boleh memberi kesedaran mengenai tamadun Melayu yang semakin terhakis disebabakan arus pemodenan negara.

Sesi perkongsian itu juga mendedahkan kebolehan orang Melayu zaman dahulu membina kapal yang sangat digeruni musuh.

Program itu disertai tokoh berpengalaman seperti Pengkaji Ilmu Laut Melayu, Mohd Salleh Mazukhi Harun dan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Prof. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad.

Program dimeriahkan dengan persembahan oleh pelajar FBMK dan Shafa’atussara Silahudin dari Universiti Malaya.

Mohd Salleh menjelaskan mengenai sejarah pelayar-pelayar Melayu, teknologi pembinaan perahu, ilmu berlayar, ilmu pandu arah serta ilmu Falak Samudera dalam topiknya ‘Ilmu Maritim Melayu’.

Prof. Abdul Mua’ti ketika menyampaikan topiknya, ‘Komunikasi Warisan’ pula berkata generasi sekarang perlu mencari dan menggali warisan Melayu seperti ilmu pelayaran dan tidak lena dengan cerita dongeng yang dibuat oleh orang luar.

Katanya, aspek seperti pantai, pohon kelapa, pasir pantai, perahu dan kapal berkait rapat dengan kehidupan orang Melayu yang dikenali sebagai bangsa pelaut suatu ketika dahulu.

“Orang Melayu dikatakan mempunyai deria keenam atau keistimewaan yang tidak dimiliki oleh bangsa lain iaitu hebat dalam seni pelayaran,” katanya. - UPM

SXEZEAd~