| Universiti Putra Malaysia

Betulkan niat, usaha sebaik mungkin untuk capai kejayaan

Oleh: Faruq Irsyad Razali
Pelajar Sains Pembangunan Manusia, FEM

SERDANG, 9 Jan – “Betulkan niat, berusaha sehabis baik dalam pelajaran tidak kira pada peringkat Bacelor, Master, atau Ph.D. Segala cabaran yang datang adalah untuk mengasah potensi diri untuk menjadi lebih baik.”

Itu kata-kata semangat Dr. Khairun Nisa’ Khiruddin, 32, yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia, pada Majlis Konvokesyen  Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-44, di sini hari ini.

Beliau yang berasal dari Perak berjaya menamatkan pengajian Ph.D dalam tempoh enam semester, pada usia 29 tahun.

Beliau yang kini pensyarah di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata perjalanan untuk mendapat Ph.D bukan mudah  kerana ia perlu disertai dengan minat dan keazaman tinggi.

Dr. Khairun Nisa’ graduan daripada Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) UPM berkata restu ibu dan ayah adalah elemen amat penting dalam pengajian kerana redha ibu bapa akan membawa kepada keredhaan Allah S.W.T.

“Menjadi kepuasan seorang individu yang bergelar pelajar apabila mereka dapat memahami ilmu yang diberikan dan ini bermulanya dengan keredhaan ibu bapa,” katanya.

Beliau turut berpegang kepada moto UPM - “Berilmu, Berbakti” – iaitu mereka yang sudah mempunyai ilmu, perlu berbakti kepada masyarakat dengan ilmu yang boleh memberi manfaat.

Dr. Khairun Nisa’ yang mendapat tajaan biasiswa daripada Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata selain ibu bapa, sokongan mentor dan pensyarah juga menjadi dorongan untuk beliau meneruskan pengajiannya di peringkat Ph.D.

“Saya berasa sangat bertuah kerana dipertemukan dengan pensyarah yang bagi saya sangat hebat pemikirannya sepanjang berada di UPM ini,” katanya. - UPM

SXERFAo~