| Universiti Putra Malaysia

Bentley Institute tubuh BIM Advancement Lab di UPM, pertama di Asia Tenggara

Oleh: Azman Zakaria

 

SERDANG, 8 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) menubuhkan ‘Building Information Modelling’ (BIM) Advancement Lab’ yang bakal menjadi peneraju dalam menyediakan kursus pengajaran dan pembelajaran bertaraf antarabangsa berkaitan industri pembinaan.

Makmal itu yang diwujudkan dengan kerjasama Bentley Institute di Bentley Systems, syarikat pembangunan perisian industri pembinaan dan infrastruktur yang berpangkalan di Amerika Syarikat, adalah yang pertama diwujudkan di Asia Tenggara oleh institut berkenaan.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang menjalin kerjasama penyelidikan, pemindahan kepakaran dan latihan serta mengintegrasikan strategi BIM dalam pendidikan kejuruteraan itu ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dato’ Dr.-ing. Ir. Renuganth Varatharajoo, dan Naib Presiden dan Ketua Global Bentley Institute di Bentley Systems, Vinayak Trivedi.

Melalui kerjasama itu, makmal Computer Aided Design and Drafting (CADD) sedia ada di Fakulti Kejuruteraan, dinaiktaraf kepada UPM-Bentley BIM Advancement Lab.

Makmal berkeluasan 2,000 kaki persegi itu akan menyediakan peluang pembelajaran yang akan membantu pelajar kejuruteraan ke arah menjadi profesional yang berjaya dalam bidang BIM dan infrastruktur.

Melalui kursus atas talian dan dalam bilik darjah yang dikendalikan oleh pakar Bentley, pelajar kejuruteraan di UPM akan mempelajari aplikasi perisian Bentley yang merangkumi pelbagai disiplin infrastuktur.

Makmal itu juga berperanan sebagai pusat pembelajaran berasaskan senario berdasarkan pengalaman Digital Advancement Academies Bentley Institute dan daripada projek-projek infrastruktur di seluruh dunia.

Prof. Dato’ Dr.-ing. Ir. Renuganth berkata, latihan yang dikendalikan di BIM Advancement Lab akan dipantau oleh pakar Bentley bagi memastikan kualiti latihan itu.

Beliau berkata, latihan untuk pelajar akan melahirkan graduan yang tersedia untuk memenuhi permintaan pasaran, manakala latihan untuk mereka yang terbabit dalam pembinaan dan pengurusan infrastruktur pula bermakna industri itu boleh mendapat faedah daripada penggunaan teknologi BIM. 

 

“Dengan gajet dan teknologi yang ada di makmal ini, kami mahu menjadikan makmal ini sebagai satu daripada ‘role model’ untuk kelas masa depan (future classroom) di UPM dan negara,” katanya.    

Makmal itu adalah dalam bentuk fizikal-siber ke arah ‘makmal masa depan’ (future lab) dan juga kelas masa depan’.

UPM diberi akses liputan luas di kampus mencakupi lebih daripada 55 perisian kejuruteraan komersial, kursus-kursus atas talian Bentley, Bentley e-Books, interaksi secara langsung dengan pakar di seluruh dunia, webinar (seminar melalui internet),  program duta pensyarah/pelajar dan perakuan pakar, serta perkongsian projek komersial mega seperti Cross London, MRT.

Nilai tipikal untuk satu pengguna komersial bagi 55 perisian kejuruteraan komersial itu adalah kira-kira RM4 juta. Justeru, dengan pembabitan projek Bentley di 170 buah negara, nilai liputan luas kampus yang diwujudkan melalui UPM-Bentley BIM Advancement Lab adalah sangat luas.

Vinayak pula berkata, BIM Advancement Lab itu menyediakan ruang dan peluang untuk membantu pelajar kejuruteraan menjadi profesional yang berjaya dalam bidang BIM dan infrastruktur.

 

“Melalui inisiatif ini, Bentley Institute mahu melengkapkan pelajar dan bakal profesional dengan kemahiran teknikal yang sewajarnya bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka serta membantu mereka mempersiapkan diri untuk kerjaya sebagai profesional dalam bidang infrastruktur,” katanya. – UPM

 

SXDdAA~