| Universiti Putra Malaysia

Bengkel Terapi Pemakanan Perubatan untuk pesakit Diabetes

Oleh Nurliyana Naharuddin

 

SERDANG - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan bengkel terapi pemakanan perubatan bertajuk ‘Mr. Carbs Expert’  bagi mengukuhkan pengetahuan dalam pengurusan karbohidrat bagi pesakit Diabetes Melitus Jenis 1.

Penasihat program, Prof. Madya Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof berkata selain mengukuhkan pengetahuan, bengkel itu juga mengetengahkan amalan kendiri bagi individu yang menghidap Diabetes Melitus Jenis 1 dalam pengurusan pemakanan.

“Pengurusan pemakanan terutamanya karbohidrat sangat penting dalam memastikan individu dengan Diabetes Melitus Jenis 1 dapat mengatur jadual pemakanan harian dengan baik bagi mencapai kawalan glukosa darah yang optimum,” katanya.

Beliau berkata, melalui bengkel itu peserta diminta mengukur sendiri jumlah karbohidrat melalui aktiviti yang disediakan oleh penganjur.

“Di klinik, pendedahan diberikan hanya berdasarkan teori. Menariknya pada bengkel ini, peserta turut diminta menyediakan snek bersesuaian yang boleh diaplikasikan bersesuaian dengan diet pesakit,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah ‘Food BINGO’ dan ‘Nutri Rangers’ yang menekankan pengalaman praktikal dalam pengurusan karbohidrat.

Prof. Madya Dr. Barakatun Nisak berkata Diabetes Melitus Jenis 1 adalah sangat unik dan membabitkan kira-kira 5% daripada jumlah pesakit diabetes di Malaysia. Ia biasanya didiagnos dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Individu dengan Diabetes Melitus Jenis 1 bergantung kepada rawatan insulin yang diurus oleh pakar endokrin kanak-kanak. Selain insulin yang ditentukan oleh pakar perubatan, individu dengan Diabetes Melitus Jenis 1 perlu berjumpa dengan pegawai dietetik untuk mendapat terapi pemakanan perubatan secara khusus,” katanya.

‘Mr. Carbs Expert’ dicetus hasil idea kreatif sekumpulan pelajar tahun akhir Program Bacelor Sains (Dietetik). Ia merupakan satu daripada projek untuk memenuhi keperluan Latihan Profesional Dietetik Komuniti sebelum bergelar pegawai dietetik. - UPM

WXEUEA0~