| Universiti Putra Malaysia

Bengkel Pembangunan Sukarelawan Terapi Berkuda Sesi 1 2020

Oleh: Dr. Nurul Hayah Khairuddin

AMPANG, 16 Feb - Kelab Equestrian Putra, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Menunggang Kelainan Upaya (RDA) Malaysia sekali lagi telah berjaya menganjurkan Bengkel Pembangunan Sukarelawan Terapi Berkuda.

Program selama dua hari di Kelab Diraja Polo Selangor, yang berakhir pada hari ini, menandakan bengkel sukarelawan terapi berkuda kali kedua telah diadakan oleh UPM sejak dimulakan pada tahun lepas dan pertama kali diadakan pada tahun ini.

Sebagai sebahagian daripada projek kerjasama jangka panjang dengan RDA, program ini berfungsi sebagai medium untuk pelajar universiti dan masyarakat umum menjadi sukarelawan terlatih dalam bidang terapi tunggangan untuk kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas di bawah bimbingan Ketua Jurulatih RDA, Encik Muthusamy Kandasamy.

Bengkel ini bertujuan untuk mengajar bakal sukarelawan tentang pengetahuan asas, kemahiran dan pengurusan, pengendalian dan membantu kanak-kanak keperluan khas dalam sesi terapi mereka.

Bengkel yang telah dihadiri oleh 21 orang peserta menyaksikan peningkatan dalam penyertaan pelajar UPM, kakitangan dan pensyarah. Berikutan kejayaan acara tahun yang lalu, bengkel ini mendapat sokongan yang padu semasa pelancarannya.

Tan Sri Dr. Abd Aziz Abd Rahman, presiden RDA Malaysia, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof. Dr. Abdul Rahman Omar serta penasihat kelab PEC sendiri, Prof. Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin merupakan tetamu kehormat yang telah membuat penampilan istimewa untuk berkongsi dan memberikan pandangan serta pengetahuan mereka dalam bidang terapi tunggangan dan memberi motivasi kepada bakal sukarelawan.

Selain daripada melatih sukarelawan terapi berkuda, Bengkel Pembangunan Sukarelawan Terapi Berkuda juga berperanan sebagai pelopor program PEC pada masa depan iaitu Program Terapi Berkuda dan Kesukarelawanan yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Program Sukarelawan Terapi Berkuda ini akan diadakan di Unit Ekuin UPM sendiri dengan bantuan dan bimbingan daripada RDA. Tujuan program ini adalah untuk membantu dan meningkatkan kebolehan fizikal serta sosial kanak-kanak dengan keperluan khas dan juga sebagai saluran sukarelawan untuk melaksanakan serta mengamalkan kemahiran dan juga pengetahuan yang dipelajari semasa bengkel tersebut. - UPM

WXDdUA~