| Universiti Putra Malaysia

Bengkel Magik maya pupuk minat kanak-kanak terhadap Sains

Seramai 125 kanak-kanak berusia 6 hingga 9 tahun dari seluruh negara menyertai program ‘Superhero Magic Junior’ sempena Minggu Sains Negara 2021, baru-baru ini.

Ia dianjurkan Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi pasukan ‘Magik Fizik UPM’ dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI) serta Jabatan Kimia Malaysia.

Ketua program, Prof Madya Dr. Yap Wing Fen berkata, bengkel yang kreatif itu boleh memupuk minat kanak-kanak dari kecil untuk cenderung kepada ilmu pengetahuan dalam bidang sains.

Beliau berkata, ia juga memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai mudahnya belajar sains secara seronok walaupun menggunakan bahan terpakai yang ada di rumah. 

 

“Program ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada ibu bapa dan penglibatan secara aktif para peserta. Walaupun dijalankan secara maya, ia tidak menjejaskan pencapaian objektif program itu,” katanya.

Program yang berasaskan pemindahan ilmu dan kepakaran dalam sains itu diolah dalam bentuk magik. Fasilitator program adalah Zahin Nazrin, Faiz Iqbal, Muhammad Fauzi, Muhamad Zulkarnai, Khaled Saufi, Muhammad Zamri, Muhammad Nazreen, Amirul Mirza dan Syazanee Arfan yang merupakan ahli ‘Kelab Magik Fizik UPM’.           

Pengarah program, Zahin Nazrin Rosemadi berkata, beliau bersyukur atas peluang yang diberikan untuk menjayakan program kesukarelawanan secara maya itu.

Katanya, situasi pandemik COVID-19 bukan penghalang untuk mereka menjalankan program itu sempena Minggu Sains Negara 2021.

“Bengkel ini bukan sahaja dapat memberi ilmu kepada peserta, tetapi juga dapat membantu kami mengasah kemahiran berkomunikasi bersama kanak-kanak dan ibu bapa secara berkesan. Kerja berpasukan dan kemahiran kepemimpinan juga dapat dipupuk dalam pengurusan bengkel ini,” katanya.

Ibu bapa juga menzahirkan keterujaannya terhadap pelaksanaan program itu. 

Ibu peserta Althaf Uzair, 8 tahun, Herdawati Mohd Halil berkata bengkel itu sangat menyeronokan dan menghiburkan beliau dan anaknya.

“Kami sangat kagum mempelajari sesuatu yang baharu. Anak saya juga dapat buat magik yang baru sahaja dipelajari dan menunjukkannya kepada rakan-rakannya,” katanya.  - UPM

 

 

SXDdVAi~