Bendung Masalah “pemerangan” Pada Buah Nangka | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Bendung masalah “pemerangan” pada buah nangka

Bendung masalah “pemerangan” pada buah nangka

Oleh: Dr. Daljit Singh

 

LANCHANG - Masalah pemerangan atau “karat” pada buah nangka menyebabkan hasil pulangan tuaian buah nangka di negara ini menurun.

Ia kerana pembeli tidak mahu membeli buah yang berpenyakit menyebabkan buah nangka tidak mendapat pasaran yang menggalakkan. Masalah pemerangan ini banyak terjadi pada buah nangka madu J33.

Meskipun permintaan terhadap buah nangka madu untuk pasaran tempatan dan luar negara adalah tinggi kerana rasanya yang sedap dan manis, namun, pemerangan pada buah nangka ini mengurangkan hasil tuaian sebanyak 30% setiap tahun.

Khasiat buah nangka termasuk membantu dalam penurunan tekanan darah dan  meningkatkan sirkulasi darah dalam badan. Ia juga kaya dengan vitamin A dan C (anti-oksida) yang membantu menguatkan sistem daya tahan badan terhadap serangan penyakit, selain memelihara kesihatan mata dan kulit.

 

Dalam usaha mengatasi masalah pemerangan, sebuah syarikat yang mengusaha ladang nangka, KMT Group, mendapatkan khidmat bantuan penyelidik Univerisiti Putra Malaysia (UPM) yang meninjau serta mengambil beberapa sampel buah, daun, kulit pokok dan tanah untuk dianalisis.

 

Dr. Mohd Termizi Yusof, Dr. Dzarifah Zulperi, Dr. Siti Izera Ismail, Dr. Daljit Singh Karam dan Dr. Mohd Hakiman Mansor mengadakan lawatan sehari dan meninjau keadaan ladang nangka itu, di sini baru-baru ini.

Dr. Mohd Termizi,  pakar mikrobiologi dari Jabatan Mikrobiologi, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM berkata, apa yang dilihat ialah setiap pokok mempunyai masalah serangan penyakit yang berbeza iaitu kanker, pemerangan dan kulat.

Katanya, sampel yang diambil akan dianalisis bagi mengetahui punca penyakit, seterusnya mengambil langkah mitigasi bagi mengurangkan penyebaran penyakit ke pokok-pokok yang sihat.

“Salah satu langkah bagi membendung atau mengurangkan serangan penyakit ini ialah dengan melakukan penanaman campuran.

“Sanitari di kawasan ladang sebelum penanaman perlu dilakukan kerana kita tidak mengetahui vektor penyakit yang terdapat di dalam tanah mahupun persekitaran,” katanya.

 

Pakar patologi tumbuhan dari Jabatan Perlindungan Tumbuhan, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Dzarifah pula berkata, peralatan untuk penanaman, pembajaan dan penuaian juga perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan bersih sebelum dan selepas digunakan kerana penyakit itu juga merebak melalui peralatan penanaman.

“Setakat ini, hipotesis kami adalah simptom pemerangan ini bermula selepas pembungaan wujud. Pemerangan ini juga disebabkan oleh jangkitan bakteria Pantoeastewartii yang  memberi kesan langsung dengan mengubah keadaan dan kualiti nangka.

 

“Kami mengambil beberapa sampel buah yang mempunyai kadar umur berbeza untuk dianalisis,,” katanya.

Sementara itu Pengurus Besar KMT Group, Ng Swee Pen berkata, masalah serangan penyakit itu bukan baharu di ladang itu, dan pihaknya sentiasa memantau kualiti pengeluaran buah-buahan dari ladang.

“Cuma sekarang, kami berdepan dengan serangan simptom pemerangan ini yang menyebabkan buah-buah tersebut tidak dapat dijual”.

Pengarah Pembangunan Perniagaan KMT Group, Dr. Lee Kok Loong,  pula berkata selain juga mendapatkan khidmat bantuan penyelidik UPM, pihaknya juga menggunakan pelbagai kaedah penanaman yang bersesuaian, termasuk dalam sistem sanitari ladang dan juga peralatan yang digunakan. - UPM

 

Kemaskini:: 29/05/2017 [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1505860628